Bomba guna helikopter padam kebakaran hutan dekat Gua Niah

Bomba guna helikopter padam kebakaran hutan dekat Gua Niah

am@hmetro.com.my

Miri: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan helikopter Unit Udara bagi membantu operasi memadam kebakaran hutan di lereng bukit berhampiran Gua Niah, Taman Negara Niah, yang dipercayai berpunca daripada panahan petir.

Operasi udara itu dilaksanakan selepas anggota bomba berdepan kesukaran untuk memasuki kawasan kebakaran disebabkan keadaan muka bumi yang berbatu, curam serta kedudukan api di puncak bukit batu kapur.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 2 petang Isnin, sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan tiba di Pejabat Taman Negara Niah pada jam 2.07 petang dan mendapati kebakaran benar-benar berlaku di lereng bukit berhampiran Gua Niah, kira-kira 2.9 kilometer dari pejabat taman negara berkenaan.

“PKO terpaksa berjalan kaki sejauh 2.9 kilometer dari Pejabat Taman Negara Niah ke Pondok Gerai Komuniti Tangap sebelum meneruskan perjalanan kira-kira satu kilometer lagi ke lokasi kebakaran.

“Terdapat dua lokasi kebakaran dikenal pasti iaitu di Lereng Bukit Traders Cave dan Kuala Hangus yang juga sebahagian daripada kawasan Gua Besar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kawasan keseluruhan yang terjejas kini dianggar seluas empat hektar berbanding kira-kira 0.5 hektar apda awalnya.

“Susulan itu, bomba hanya menjalankan pemantauan selain berbincang dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk menutup sementara Taman Negara Niah kepada orang awam serta meningkatkan pemantauan berkala terutama di laluan denai menuju Traders Cave,” katanya.

Operasi diteruskan apabila PKO bergerak semula ke lokasi pada 9 pagi Selasa sebelum menerima kelulusan penggunaan helikopter Unit Udara bagi melaksanakan pemadaman dari udara pada 10.30 pagi.

Helikopter MI-17 tiba di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subis pada 2.30 petang dan memulakan penerbangan bagi kerja pemadaman 10 minit kemudian dengan mendapatkan sumber air dari Sungai Niah.

Operasi udara berakhir pada 4.20 petang, namun pihak bomba memaklumkan kebakaran masih belum dipadamkan sepenuhnya dan operasi akan diteruskan hari ini.

Operasi membabitkan 17 anggota, sebuah jentera FRT, sebuah Toyota Hilux, sebuah helikopter MI-17 serta dibantu lima pegawai dan anggota SFC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top