Anggota tentera, bapa maut ditembak sepupu gara-gara pokok pisang

Anggota tentera, bapa maut ditembak sepupu gara-gara pokok pisang

VAISHALI – Pertikaian mengenai sebatang pokok pisang bertukar tragedi apabila seorang anggota tentera dan bapanya ditembak oleh sepupu mereka dalam kejadian di daerah Vaishali, Bihar, India.

Mangsa, Jitendra Kumar, yang bertugas sebagai anggota tentera di Delhi, pulang ke kampung halaman beberapa hari lalu selepas menghadiri pengebumian seorang saudara yang meninggal dunia akibat renjatan elektrik.

Menurut laporan NDTV News, bapanya, Munarik Rai, telah menebang beberapa batang pokok bagi membersihkan laluan di sebuah jalan yang dikatakan mengganggu pengguna.

Antara yang ditebang ialah pokok pisang yang menjadi punca pertikaian antara keluarga terbabit.

Insiden itu mencetuskan pergaduhan antara Jitendra dan sepupunya, Jagdish Rai, sebelum polis dipanggil ke lokasi dan berjaya meleraikan pertelingkahan tersebut.

Bagaimanapun beberapa jam kemudian, suspek dipercayai kembali ke lokasi sebelum melepaskan tembakan ke arah Jitendra dan bapanya.

Munarik maut di tempat kejadian, manakala Jitendra dikejarkan ke Hospital Sadar dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Susulan kejadian itu, polis melancarkan operasi memburu suspek.

Dalam operasi berkenaan, Jagdish ditembak pada kedua-dua belah kakinya selepas berlaku insiden berbalas tembakan dengan pihak berkuasa.

Suspek kini sedang menerima rawatan di Hospital Sadar Hajipur, manakala polis meneruskan siasatan berhubung kes berkenaan.

Scroll to Top