DIDIER Deschamps mempersoalkan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) melantik pengadil El Salvador, Ivan Barton untuk mengendalikan aksi separuh akhir Piala Dunia selepas Perancis tersingkir kepada Sepanyol.
Namun, jurulatih Les Bleus itu mengakui kekalahan 0-2 kepada La Roja berpunca daripada kegagalan pasukannya menandingi lawan dari segi teknikal, selain mengakui Sepanyol lebih layak melangkah ke final.
Perancis kecewa dengan beberapa keputusan Barton, terutama apabila pengadil itu menghadiahkan sepakan penalti kepada Sepanyol selepas Lucas Digne menjatuhkan Lamine Yamal di dalam kotak penalti.
Mikel Oyarzabal menyempurnakan peluang itu sebelum Pedro Porro menambah jaringan pada babak kedua untuk memastikan kemenangan Sepanyol.
Selepas perlawanan, Deschamps mengakui pemainnya kecewa kerana datang dengan harapan tinggi, namun pada masa sama mula mempersoalkan tahap pengadilan Barton.
“Adakah pengadil itu cukup bagus untuk mengendalikan separuh akhir Piala Dunia? Saya tidak akan menjawab soalan itu.
“Saya bukan berkata demikian kerana kami kalah hari ini tetapi memang ada beberapa situasi sebelum ini yang tidak memihak kepada kami,” katanya.
Deschamps bagaimanapun menegaskan beliau tidak mahu menjadikan pengadil sebagai alasan utama kekalahan Perancis.
“Saya tidak mahu terus bercakap mengenainya kerana nanti saya akan kelihatan seperti mencari alasan.
“Kami perlu realistik dan mengakui hari ini kami berada satu tahap di bawah dari segi teknikal berbanding pasukan yang tahu apa yang mereka lakukan,” katanya.
Menurut Deschamps, Perancis gagal mencipta ancaman secukupnya di bahagian serangan selain melakukan beberapa kesilapan teknikal yang membantutkan peluang mereka.
“Saya mempunyai pengadil keempat dan kelima di sebelah saya yang juga bagus. Isunya bukan hanya mengenai penalti, tetapi gabungan beberapa faktor,” katanya.
Sementara itu, kapten Sepanyol, Rodri, turut menyuarakan pandangan terhadap prestasi Barton apabila mendakwa Lamine Yamal sepatutnya menerima lebih banyak perlindungan selepas beberapa insiden sepanjang kejohanan.
“Kami sudah berdepan situasi seperti ini dalam tiga perlawanan sekarang,” katanya.
Kemenangan itu membawa Sepanyol ke final Piala Dunia buat kali kedua dalam sejarah selepas kejayaan menjulang trofi pada 2010.



