Perancis silap taktikal- Mbappe

Perancis silap taktikal- Mbappe

DALLAS: Kylian Mbappe mengakui pasukannya melakukan kesilapan taktikal sehingga impian mara ke final Piala Dunia 2026 musnah selepas tewas 2-0 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Mbappe tampil cemerlang sepanjang kejohanan di Amerika Utara itu dengan meledak lapan gol, sekali gus menjadi tonggak utama jentera serangan Perancis yang menghiburkan penyokong di seluruh dunia.

Namun, hasrat penyerang berusia 27 tahun itu untuk membawa Perancis ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut berakhir apabila Les Bleus gagal menandingi kehebatan Sepanyol di Stadium Dallas.

Mbappe menyifatkan kekalahan itu sebagai satu kekecewaan besar buat seluruh skuad Perancis kerana mereka tidak bermain seperti dirancang untuk mengekang bahagian tengah Sepanyol.

“Saya rasa kami tidak bermain seperti yang dirancang, sama ada dari segi taktikal, teknikal mahupun prestasi keseluruhan. Apabila anda gagal melakukan apa yang sepatutnya dalam separuh akhir Piala Dunia, anda tidak akan menang,” kata bintang Real Madrid itu.

Menurut Mbappe, perancangan awal Perancis adalah menekan tinggi bagi menghalang Sepanyol menguasai rentak permainan.

“Matlamat kami adalah menekan mereka di kawasan tinggi supaya mereka tidak dapat mengawal tempo permainan. Apabila bercakap mengenai kawalan permainan, mereka memang lebih baik daripada kami. Malangnya kami gagal melakukannya,” kata Mbappe.

Beliau turut mengakui Perancis bergelut di bahagian tengah apabila Adrien Rabiot dan Aurelien Tchouameni sering kalah bilangan pemain berdepan trio Sepanyol, Rodri, Dani Olmo dan Fabian Ruiz.

“Kami sentiasa berada dalam situasi tiga lawan dua di bahagian tengah. Menentang Sepanyol, itu adalah masalah yang sangat besar. Apabila semuanya digabungkan, akhirnya kami tewas. Ia satu kekecewaan yang amat besar,” katanya.

Bagaimanapun, Mbappe percaya, skuad Perancis mampu bangkit semula selepas mengambil iktibar daripada kekalahan berkenaan.

“Impian kami adalah mara ke final, memberikan peluang kepada negara untuk terus bermimpi dan mencipta sejarah.

“Namun, kami perlu menerima hakikat ini dengan penuh maruah. Saya percaya apabila menang, kita menang dengan penuh maruah dan apabila kalah, kita juga perlu kalah dengan penuh maruah.

“Buat masa ini, kami semua amat kecewa. Sukar untuk saya gambarkan betapa besarnya kekecewaan yang dirasai oleh saya dan seluruh pasukan.

“Walaupun ia mungkin kedengaran seperti rutin, kami perlu bangkit, bercuti seketika dan memulakan lembaran baharu. Bola sepak tidak menunggu sesiapa. Kami perlu melupakan kegagalan ini dan belajar daripadanya,” tambahnya.- AGENSI

Scroll to Top