redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) menyambut baik langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melaksanakan intervensi awal serta memperkukuh persekitaran kerja lebih sihat sebagai usaha membendung masalah kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam.
Presiden PSIMA, Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, ia kerana pihaknya memandang serius laporan berkaitan lebih 40,000 penjawat awam dikenal pasti menghadapi masalah kesihatan mental menerusi Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Perkhidmatan Awam (MyPsyD).
Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, angka direkodkan itu bukan sekadar statistik tetapi menggambarkan keperluan mendesak untuk menyediakan sistem sokongan psikologi yang tersusun, mudah dicapai, sulit dan berterusan.
“Bagaimanapun, saringan sahaja tidak mencukupi. Individu yang dikenal pasti memerlukan bantuan mesti menerima penilaian lanjut, intervensi berasaskan bukti, rujukan kepada profesional yang berkelayakan serta pemantauan susulan.
“Ketua jabatan juga perlu dilatih untuk mengenal pasti perubahan tingkah laku, mengurus tekanan organisasi serta membina budaya kerja yang selamat tanpa stigma atau diskriminasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, Shazli Ezzat berkata, PSIMA menggesa supaya Akta Psikologi yang komprehensif diwujudkan dengan segera.
Beliau berkata, akta itu penting untuk menetapkan kelayakan, pendaftaran, skop amalan, piawaian etika, akauntabiliti dan mekanisme aduan bagi penyampaian perkhidmatan psikologi.
“Masyarakat yang sedang berhadapan tekanan emosi mudah terdedah kepada pihak tidak berkelayakan menggunakan pseudopsikologi, membuat dakwaan rawatan tanpa bukti atau menawarkan pendekatan yang boleh memburukkan keadaan.
“Perlindungan undang-undang diperlukan bagi memastikan setiap intervensi diberikan oleh individu yang kompeten, bertanggungjawab dan tertakluk kepada piawaian profesional.
“Isu kesihatan mental penjawat awam juga perlu dilihat dalam konteks beban tugas, kepimpinan, keselamatan psikologi, sokongan sosial dan keseimbangan kerja-kehidupan, bukan sebagai kelemahan individu,” katanya.
Menurutnya, PSIMA akan terus memperkukuh agenda itu menerusi penganjuran Persidangan Psikologi Antarabangsa (IPC) 2026 bermula 17 hingga 18 Ogos depan di Universiti HELP di sini yang bertemakan ‘Psychology for
MADANI Society: Wellbeing, Resilience & Inclusive Development”.
“Persidangan itu akan menghimpunkan profesional, penyelidik, penggubal dasar dan organisasi untuk membincangkan kajian, intervensi psikologi yang selamat, berkesan serta inklusif.
“Malaysia tidak boleh menunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius.
“Intervensi awal mesti diperkasa, profesion psikologi mesti dikawal selia dan masyarakat mesti dilindungi,” katanya.
Terdahulu, JPA dilaporkan mengambil langkah komprehensif dalam usaha membendung masalah kesihatan mental peringkat awal yang membelenggu penjawat awam di negara ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilapor berkata, langkah itu susulan kajian MyPsyD yang merekodkan lebih 40,000 penjawat awam menghadapi masalah kesihatan mental.
© New Straits Times Press (M) Bhd




