Kuala Lumpur: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai kuasa amat luas di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), meliputi hampir keseluruhan aspek tadbir urus, pengurusan dan operasi institusi berkenaan.
Laporan RCI mendedahkan, kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta 535 itu membolehkan menteri melantik dan membatalkan pelantikan Pengerusi serta Ahli Lembaga TH.
“Menteri juga diberi kuasa menentukan pembayaran honorarium, elaun perjalanan dan elaun sara hidup kepada Ahli Lembaga, selain boleh mengeluarkan arahan bersifat am yang selaras dengan Akta 535 berkaitan pelaksanaan fungsi TH dengan institusi itu diwajibkan melaksanakan semua arahan berkenaan,” dedah RCI TH, hari ini.
Turut didedahkan kuasa menteri terhadap pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif TH termasuk persetujuan berhubung pembayaran gaji dan elaun Ketua Pegawai Eksekutif TH serta meluluskan peraturan berkenaan dengan syarat perkhidmatan pegawai dan perkhidmatannya dan berkenaan dengan tatatertib pegawai dan perkhidmatannya.
“Menteri juga berkuasa meluluskan pemberian pembiayaan atau bantuan kewangan kepada mana-mana syarikat yang ditubuhkan di bawah perenggan 4(3)(d) dan kepada mana-mana syarikat yang berkaitan dengannya,” dedah laporan itu.
Laporan terbabit juga mendedahkan menteri berkuasa meluluskan peraturan berhubung dengan deposit dan pengeluaran di TH serta meluluskan setiap aktiviti pelaburan TH di dalam atau luar negara.
“Menteri juga boleh menentukan pemindahan wang daripada Kumpulan Wang Rizab LTH, meluluskan pengisytiharan suatu jumlah wang sebagai untung boleh diagihkan (hibah) berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu.
“Menteri juga boleh meluluskan pembuatan apa-apa peraturan yang perlu atau suai manfaat bagi memberikan kuat kuasa penuh kepada peruntukan Akta 535,” kata laporan itu.
Susulan itu, RCI mengesyorkan Akta 535 dipinda bagi mengehadkan kuasa mutlak menteri dalam pelantikan Ahli Lembaga, selain menetapkan kriteria pemilihan yang lebih ketat berdasarkan kepakaran.
Laporan RCI mendapati, peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6 Akta 535 memberikan kuasa yang terlalu luas kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama untuk melantik dan membatalkan pelantikan Pengerusi serta anggota Lembaga TH.
Menurut laporan itu, kuasa menteri bukan sahaja meliputi urusan haji, tetapi turut membabitkan aspek tadbir urus, pengurusan dana pendeposit dan pelaburan institusi berkenaan.
RCI mendapati, berdasarkan akuan berkanun dan keterangan saksi, kebanyakan keputusan menteri banyak bergantung kepada cadangan pengurusan TH serta persetujuan Lembaga.
“Menteri yang bertanggungjawab ialah Menteri Hal Ehwal Agama.
“Memandangkan bidang kepakaran menteri yang bertanggungjawab menjurus kepada bidang agama, RCI berpendapat komposisi bidang kepakaran dalam Lembaga hendaklah seimbang supaya keputusan-keputusan Lembaga yang menasihati menteri dibuat dengan penuh kepakaran, bebas dan patuh syariah,” dedah laporan itu.
Menurut laporan itu, berdasarkan fungsi TH di bawah Seksyen 4(1) Akta 535, Ahli Lembaga memikul amanah besar bagi memastikan institusi itu diurus secara cekap demi kepentingan pendeposit serta kebajikan jemaah haji.
Sehubungan itu, RCI mengesyorkan Akta 535 dipinda bagi memperincikan kriteria dan kaedah pemilihan Ahli Lembaga supaya individu yang dilantik benar-benar memiliki kepakaran, pengalaman dan kelayakan yang bersesuaian dengan tanggungjawab mengurus dana pendeposit serta operasi TH.
RCI berkata, cadangan penambahbaikan itu antara syor yang dikemukakan bagi memperkukuh tadbir urus TH, meningkatkan akauntabiliti serta memastikan institusi berkenaan terus kekal berintegriti sebagai pengurus dana umat Islam dan pengendali urusan haji negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




