mahaizura@mediaprima.com.my
KETIKA ramai mengukur kejayaan seseorang peguam berdasarkan jumlah kes dimenangi atau firma dimiliki, Ainie Haziqah Shafii pula berbeza pandangan mengenainya.
Bagi Ainie Haziqah, nilai sebenar profesion itu terletak pada sejauh mana ilmu undang-undang dapat dimanfaatkan untuk membantu mereka yang tidak mampu mempertahankan hak sendiri.
Pada usia 36 tahun, ibu tiga cahaya mata itu bukan sahaja aktif mengendalikan firma guamannya sendiri, malah terus konsisten turun padang menjalankan klinik guaman percuma serta pelbagai inisiatif kebajikan bagi menyantuni masyarakat.
Sejak berusia lapan tahun, Ainie Haziqah sudah memasang impian untuk bergelar peguam selepas mengikuti beberapa demonstrasi bersama keluarganya serta berazam menegakkan keadilan dan membantu seramai mungkin.
Impian itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Ainie Haziqah berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor sebelum menyambung diploma lanjutan syariah di universiti sama bagi melayakkannya menjadi peguam syarie.
Menurut Ainie Haziqah, dia melihat profesion guaman yang diceburinya sejak 14 tahun lalu secara berbeza dengan menggunakan kepakaran dimiliki bagi membantu golongan memerlukan.
“Pada tahun-tahun awal kerjaya, saya banyak mengendalikan kes keganasan rumah tangga, perceraian dan hal berkaitan keluarga.
“Daripada situ, saya sedar ramai sebenarnya memerlukan nasihat guaman, tetapi tidak mampu mendapatkannya,” katanya.
Menurut Ainie Haziqah, pada awalnya, dia berperanan sebagai peguam probono bersama DHRRA Malaysia yang membantu individu serta keluarga tanpa kewarganegaraan memperjuangkan hak mereka melalui saluran undang-undang.
“Selepas menubuhkan firma guaman sendiri, Nurainie Haziqah & Co pada 2020, saya melaksanakan Klinik Guaman Percuma yang memberi khidmat nasihat undang-undang sivil dan syariah kepada masyarakat termasuk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya.
Tidak terhad kepada bidang guaman, Ainie Haziqah juga bergerak aktif dalam aktiviti kemasyarakatan apabila memulakan ‘Chow Kit Kids Project’ pada 2013 hingga 2014 bersama rakannya bagi membantu pendidikan kanak-kanak di sekitar Chow Kit dengan mengajar mereka pada setiap Sabtu.
Pada 2014, dia bersama rakannya menubuhkan ‘Happy Bank Crew’ yang sehingga hari ini masih aktif membantu masyarakat menerusi pelbagai program kebajikan.
“Melalui Happy Bank Crew, saya belajar menyantuni masyarakat, mengenali masalah mereka dan mencari solusi untuk membantu.
“Kami turun ke kawasan pedalaman, mengadakan kelas untuk anak-anak yatim dan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Menurut Ainie Haziqah, ketika negara berdepan pandemik Covid-19, Happy Bank Crew berjaya mengumpul hampir RM2 juta dalam tempoh hampir dua tahun dan menyalurkan keseluruhan sumbangan itu kepada golongan memerlukan.
“Selain menghantar bantuan makanan ke seluruh Lembah Klang sehingga ke Sabah, kami turut memperkenalkan inisiatif bantuan kesihatan mental kepada individu yang hilang pekerjaan atau mengalami tekanan emosi sepanjang pandemik serta meneruskan misi bantuan ketika banjir besar melanda negara pada 2021,” katanya.
Namun, di sebalik jadual padat sebagai peguam, Ainie Haziqah tetap berusaha memastikan keluarganya tidak terabai.”Saya cuba sehabis baik menjadi isteri, ibu, peguam dan ahli politik yang baik. Saya percaya wanita boleh lakukan semua ini.
“Sebagai ibu, setiap hari, saya pastikan bangun seawal jam 5 pagi untuk menyediakan sarapan dan bekal anak-anak sebelum menghantar mereka ke sekolah.
“Saya mahu anak-anak melihat kerjaya saya bukan sekadar menjadi peguam, malah mahu membangunkan negara ini,” katanya.
Bagi Ainie Haziqah, setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat mengikut kemampuan masing-masing sama ada melalui tenaga, kepakaran mahupun rezeki yang dimiliki.
“Saya mahu anak muda menjadi generasi yang menyumbang. Kalau kita ada kemampuan, sama ada dari segi kewangan atau tenaga, kita mesti turun padang membantu masyarakat.
“Saya percaya, setiap kebaikan yang dilakukan suatu hari nanti akan dilihat dan dihargai. Cuma kita perlu konsisten dan jangan mudah mengalah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




