Bangkok: Kerajaan Myanmar yang disokong tentera pada Sabtu memaklumkan lebih 300,000 pelarian Rohingya yang kini tinggal di kem di Bangladesh disahkan sebagai bekas penduduk negeri Rakhine, di barat Myanmar, lapor Channel NewsAsia (CNA).
Pihak kerajaan memaklumkan sedia menerima kepulangan mereka sebaik sahaja keadaan keselamatan di Rakhine bertambah baik.
Kenyataan Kementerian Luar Negeri itu dikeluarkan ketika krisis pelarian Rohingya memasuki tahun kesembilan.
Ratusan ribu pelarian masih menetap di kem di Bangladesh selepas melarikan diri dari Myanmar pada Ogos 2017 susulan tinndakan keras tentera selepas kumpulan pemberontak Rohingya menyerang pos kawalan di Rakhine.
Operasi berkenaan menyebabkan lebih 700,000 Rohingya melintasi sempadan ke Bangladesh selain ratusan ribu lagi yang sudah berada di negara itu sejak beberapa dekad lalu akibat gelombang keganasan terdahulu oleh tentera Myanmar.
Skala, organisasi dan kekejaman operasi itu mencetuskan tuduhan pembersihan etnik dan pembunuhan beramai-ramai daripada komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu daripada 135 kumpulan etnik minoriti yang sah di negara itu sebaliknya merujuk mereka sebagai orang Bengali bagi menggambarkan mereka sebagai pendatang dari Bangladesh yang menetap secara haram di Myanmar.
Myanmar menyatakan sudah mengesahkan 426,545 daripada 828,824 pelarian dalam senarai yang disediakan Bangladesh sehingga akhir Julai lalu dengan 308,797 daripada jumlah itu dikenal pasti sebagai bekas penduduk Rakhine.
Kementerian Luar Negeri Myanmar memaklumkan 113,507 individu tidak dapat disahkan manakala 4,241 lagi didapati terbabit dalam kegiatan yang disifatkan sebagai pengganas.
Kementerian itu berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Bangladesh untuk menerima kepulangan bekas penduduk yang disahkan selepas keadaan keselamatan di Rakhine bertambah baik.
Dalam pada itu, Myanmar menolak dakwaan bahawa lebih satu juta orang terpaksa meninggalkan Rakhine sebaliknya mendakwa lebih 540,000 orang melintasi sempadan ke Bangladesh susulan keganasan pada 2017 manakala lebih 200,000 lagi kekal di utara Rakhine.
Myanmar dan Bangladesh pada 2018 bersetuju melaksanakan proses penghantaran pulang pelarian selama dua tahun.
Bagaimanapun, keadaan keselamatan di Myanmar semakin memburuk selepas tentera merampas kuasa pada 2021 dan menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih rakyat, sekali gus mencetuskan penentangan bersenjata secara meluas.
Pertempuran antara etnik Tentera Arakan dan tentera Myanmar pada 2023 turut memaksa lebih ramai pelarian melarikan diri ke Bangladesh serta beberapa kawasan lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd

