am@hmetro.com.my
Rantau Panjang: Sebuah motosikal Yamaha RXZ yang disumbat dalam sebuah kereta ditemukan ditinggalkan dalam kawasan semak di Kampung Tok Deh, di sini, petang semalam.
Kenderaan terbabit ditemukan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 3 petang menerusi Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata ketika rondaan dilakukan pihaknya mengesan sebuah kereta Proton Gen 2 dalam keadaan mencurigakan berhampiran pangkalan haram.
“Susulan itu anggota PGA mengekori kenderaan terbabit sebelum kereta itu dipandu laju selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
“Selepas itu kita menemukan kereta terbabit di kawasan semak di Kampung Tok Deh dan pemeriksaan mendapati ada sebuah motosikal Yamaha RXZ di bahagian penumpang belakang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit melarikan diri dan gagal dikesan,” katanya.
Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan termasuk kereta dan motosikal dianggarkan bernilai RM20,000.
Katanya, semakan pada nombor enjin mendapati motosikal berkenaan tidak didaftarkan di Malaysia dan disyaki dibawa masuk dari Thailand secara tidak sah melalui pangkalan haram sekitar Rantau Panjang.
“Rampasan dirujuk kepada Jabatan Kastam Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
