Kerajaan MADANI tidak berhasrat untuk mengawal media atau mengulangi pendekatan terhadap pengamal media yang didakwa berlaku ketika pentadbiran terdahulu.
Kita lahir di atas jalanan…
Menerusi siaran langsung di media sosial Parti Keadilan Rakyat (PKR) Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyatakan, kerajaan hari ini memilih pendekatan berbeza dengan menghormati kebebasan media, selaras dengan prinsip perjuangan dibawa Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Ada tanya kenapa Fahmi Fadzil tak kawal TV? Tuan-tuan, puan-puan rakan-rakan seperjuangan… kita lahir di atas jalanan…kita lahir menentang penguasa yang mengarah, memerintah, yang memaksa untuk lakukan macam-macam terhadap Datuk Seri Presiden kita semua.
“Adakah kita mahu mengulangi kezaliman seperti itu? Sudah pasti tidak…kita bukan dalam ‘mood’ mengawal media,” katanya ketika ucapan penggulungan di Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Tidak akan berdiam jika maklumat disiar tak tepat
Tegas Ketua Penerangan PKR itu, kerajaan bagaimanapun tidak akan berdiam diri sekiranya media menyiarkan maklumat yang didapati tidak tepat.
Jelasnya, pihak kementerian akan menghubungi organisasi media terbabit untuk mendapatkan penjelasan dan menyampaikan teguran melalui saluran yang sesuai tanpa sebarang bentuk arahan atau tekanan.
“Sekiranya ada sebarang maklumat yang tidak kena, maka kita akan berurusan secara tertib dan beradab untuk memaklumkan bahawa kita perlu buat sedikit perubahan.
“Saya boleh beritahu dalam kalangan rakan-rakan media mereka mengatakan berbeza zaman sekarang dengan zaman dulu. Zaman dulu, mereka akan diarah…tapi sekarang kita tidak buat begitu,” katanya.

Sumber: Facebook Parti Keadilan Rakyat


