Kuching City tekad cipta kejutan hadapi JDT

ISKANDAR PUTERI – Kuching City FC bertekad mahu memberi saingan luar biasa kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), sekali gus mencipta kejutan dengan meraih gelaran juara Piala Sumbangsih 2026/2027 buat kali pertama.

Meskipun persiapan The Cats sedikit terjejas susulan krisis kecederaan dan masalah visa ketika kem latihan pramusim di Chiang Mai, Thailand, ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, percaya semangat tinggi pemain-pemainnya mampu membawa kepada pertembungan sengit.

Menurut Aidil, pelbagai strategi dilakukan The Cats berikutan dua tonggak utama, Rodney Celvin dan Jimmy Raymond, terpaksa direhatkan selepas mengalami kecederaan sewaktu menjalankan tugas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

“Ketiadaan dua pemain ini bukan lagi rahsia kerana mereka cedera dan tidak sempat cergas dalam tempoh singkat satu atau dua hari ini, sekali gus terlepas perlawanan ini.

“Sebelum itu, tiga pemain import kami, iaitu James Okwuosa, Jerome Mpacko Etame dan Ronald Ngah, terlepas aksi pramusim di Chiang Mai, sekali gus menjejaskan persiapan pasukan menjelang aksi Liga Malaysia musim ini,” katanya ketika sidang media praperlawanan Piala Sumbangsih 2026/2027.

Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai status lima pemain pinjaman dari JDT memandangkan perkara itu agak sensitif.

“Mereka adalah pemain baharu dalam pasukan yang perlu menyesuaikan diri dahulu dengan pemain-pemain lain. Jadi, esok kita akan lihat siapa pemain yang bersedia untuk diturunkan,” ulasnya.

Perlawanan Sumbangsih esok merupakan aksi pertama Kuching City selain bakal bersaing di peringkat antarabangsa menerusi Piala Shopee dan Kejohanan Kelab AFC musim ini.

Sementara itu, pemain Kuching City, Okwuosa, optimis barisan pertahanan yang menampilkan gabungan baharu seperti Gabriel Peres dan Irfan Zakaria mampu menyekat kemaraan jentera serangan Harimau Selatan.

“Tumpuan lebih diberikan dan ini adalah waktu untuk meningkatkan keserasian serta membina persefahaman sesama pasukan.

“Bola sepak adalah mengenai daya saing dan kami hadir untuk mencipta kejutan serta membina sejarah baharu buat kelab dan penyokong,” katanya.

Scroll to Top