am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Masjid Sri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan dinobatkan sebagai ‘Global Outstanding Mosque of the Year’ pada World Islamic Tourism & Trade Awards (WITA) 2026, hari ini.
Pengiktirafan itu meletakkan masjid dengan kapasiti 5,000 jemaah itu sebagai contoh institusi masjid yang menggabungkan seni bina Islam, keimanan dan pembangunan komuniti di pentas antarabangsa.
Anugerah disampaikan kepada Pengerusi Ahli Jawatankuasa Masjid Sri Sendayan, Tan Sri Abdul Rashid Hussain pada majlis WITA 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
WITA dianjurkan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) bersama Jawatankuasa Penganjur WITA bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam sektor pelancongan Islam dan mesra Muslim.
Penganjur menyifatkan Masjid Sri Sendayan sebagai lebih daripada sekadar tempat ibadah dengan mengetengahkan peranannya sebagai simbol keharmonian, ihsan dan kerohanian yang mengalu-alukan jemaah serta pengunjung dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, masjid yang disiapkan pada 2019 itu turut menjadi contoh cemerlang dalam pengurusan masjid moden, selain memperkukuh peranannya dalam menabur khidmat kepada komuniti, menyuburkan ilmu serta menampilkan keindahan Islam.
“Pengiktirafan ini menegaskan suatu gagasan yang penting iaitu sebuah masjid boleh kekal teguh berakar pada tujuan sucinya, sambil terus relevan, terbuka dan responsif terhadap komuniti yang dilayani,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Masjid berkenaan dibangunkan di kawasan seluas 10 ekar di tepi tasik, dengan reka bentuk diinspirasikan seni bina era Abbasiyah yang diperkaya elemen Mamluk.
Pembinaannya mengambil masa kira-kira empat tahun dengan menggabungkan kepakaran pertukangan tempatan dan antarabangsa serta penggunaan bahan dari beberapa negara termasuk Itali, Dubai, Portugal, Mesir dan India.
Masjid berkenaan turut menampilkan dua menara, kubah utama, gerbang monumental serta kawasan laman dan landskap yang luas.
Jawatankuasa Penganjur WITA juga mengiktiraf masjid itu sebagai mercu tanda keimanan, ilmu, keharmonian dan kecemerlangan, selain berperanan penting sebagai duta global bagi nilai-nilai Islam.
Pengiktirafan itu juga dilihat mengukuhkan kedudukan Masjid Sri Sendayan sebagai salah satu tarikan pelancongan berteraskan keagamaan dan mesra Muslim di Malaysia.
Bagi pengunjung antarabangsa, masjid berkenaan bukan sahaja menawarkan keindahan seni bina Islam, malah menjadi ruang untuk mengenali kehidupan masyarakat dan nilai Islam dalam konteks Malaysia kontemporari.
“Pengiktirafan sebagai ‘Global Outstanding Mosque of the Year’ meraikan sesuatu yang jauh lebih besar daripada kehebatan sebuah bangunan.
“Ia meraikan sebuah masjid yang megah; suci dan mengalu-alukan para pengunjung, berakar teguh pada tradisi dan yakin melangkah ke masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rashid berkata, kira-kira separuh aktiviti masjid berteraskan keagamaan manakala selebihnya pula memberi tumpuan kepada program komuniti termasuk pembangunan ilmu dan kemahiran.
“Sejak awal, kami mahu Masjid Sri Sendayan berkhidmat untuk agama dan juga komuniti.
“Hari ini, kira-kira 50 peratus aktiviti kami berteraskan keagamaan dan 50 peratus lagi memberi tumpuan kepada komuniti dengan menggabungkan ibadah dan pembelajaran agama dengan program-program yang membina ilmu, kemahiran serta hubungan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, masjid juga perlu memainkan peranan dalam mempersiapkan masyarakat menghadapi perubahan masa depan, termasuk melalui pendedahan kepada ilmu dan kemahiran kontemporari seperti kecerdasan buatan (AI).
“Pembelajaran perlu berkembang seiring dengan perubahan dunia di sekeliling kita. Atas sebab itu, kami turut memperkenalkan kemahiran dan pengetahuan kontemporari, termasuk pemahaman mengenai kecerdasan buatan atau AI,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
