London: Tottenham Hotspur sah tidak menyenaraikan Richarlison dalam skuad Liga Perdana Inggeris bagi musim 2026-27.
Richarlison dimaklumkan dia tidak termasuk dalam perancangan ketua jurulatih Roberto De Zerbi dan keputusan itu disampaikan kepada pemain berusia 29 tahun berkenaan sebelum tarikh tutup jendela perpindahan bagi memberinya peluang mencari kelab baharu, menurut sumber kepada ESPN.
Jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris ditutup kelmarin dengan Richarlison masih bersama Spurs, namun perpindahan masih boleh berlaku ke negara yang jendela perpindahannya masih dibuka.
Türkiye kekal sebagai satu pilihan buat penyerang itu, dengan jendela perpindahan di negara berkenaan dibuka sehingga 4 September.
Bagaimanapun, Tottenham berkata kelab itu masih belum menerima sebarang tawaran untuk Richarlison setakat semalam.
De Zerbi secara terbuka mengesahkan hujung minggu lalu bahawa bekas penyerang Everton itu telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan Tottenham.
“Richarlison, saya tidak tahu. Dia sudah terlalu banyak kali mengatakan bahawa dia mahu pergi,” kata De Zerbi selepas kekalahan 0-2 kepada Newcastle United pada Sabtu, perlawanan yang menyaksikan Richarlison tidak disenaraikan dalam skuad hari perlawanan.
Richarlison menyertai Tottenham dari Everton pada 2022 dan menjaringkan 11 gol Liga Perdana Inggeris musim lalu, menyamai rekod terbaiknya dalam saingan liga sejak berpindah ke utara London.
Pemain berusia 29 tahun itu meminta “rasa hormat” menerusi satu hantaran di media sosial awal minggu ini ketika mengulas mengenai spekulasi masa depannya.
“Saya sentiasa menjelaskan, setiap kali saya berpeluang, bahawa meninggalkan kelab untuk menyertai pasukan lain hanya akan berlaku jika ia turut memberi kebaikan kepada kelab. Jika tidak, saya tidak akan pernah menerimanya. Sama seperti ketika segala-galanya berjalan buruk dan mereka memerlukan saya, saya tidak menerimanya ketika itu,” katanya di Instagram.
“Saya kekal dan memberikan segala-galanya. Jadi, saya berharap mereka mengendalikan situasi saya dengan rasa hormat sama seperti sentiasa saya tunjukkan kepada Spurs dan semua yang bekerja bersama saya sepanjang tempoh ini. Jangan cuba membuat keputusan untuk saya.”
Spurs turut mendapatkan Mykhailo Mudryk secara pinjaman dan Tosin Adarabioyo secara perpindahan tetap dari Chelsea pada hari terakhir jendela perpindahan, selepas jendela perpindahan yang turut menyaksikan ketibaan Sandro Tonali, Sávio, Mateus Fernandes dan Omar Marmoush.
© New Straits Times Press (M) Bhd
