Polis tahan dua lelaki disyaki curi kabel di Ayer Tawar

Ipoh: Polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel elektrik di sekitar Kampung Sungai Ramai dekat Ayer Tawar semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, kedua-dua mereka ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada 6.45 petang.

“Pihak polis merampas 102 batang kabel pelbagai saiz berwarna hitam, sembilan batang kabel dalam keadaan terbakar, empat guni mengandungi kabel yang telah dibakar serta satu guni kulit kabel yang turut dibakar.

“Tangkapan dan rampasan itu dibuat susulan laporan polis oleh pihak TNB (Tenaga Nasional Berhad) mengenai kejadian kecurian kabel elektrik di kawasan itu pada 2.42 pagi, hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 manakala kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi tujuan siasatan lanjut.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222, WhatsApp (017-682 8005) atau mana-mana balai polis berhampiran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top