syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Nourul Depp menitipkan ucapan syahdu dan penuh bermakna buat anak sulungnya, Ayu Nazirah sempena ulang tahun kelahiran anaknya ke-28, semalam.
Nourul, 49, menerusi hantaran di akaun Threads hari ini berkongsi detik awal menjadi seorang ibu pada usia yang cukup muda iaitu 21 tahun ketika melahirkan Ayu.
Menurutnya, walaupun ketika itu dia masih belajar memahami kehidupan, kehadiran anak perempuan sulung itu kekal sebagai antara nikmat terbesar dalam hidupnya.
“Ibu berusia 21 tahun ketika melahirkan kamu. Ibu masih muda dan masih belajar mengenai kehidupan, tetapi memiliki kamu sentiasa menjadi salah satu nikmat terbesar dalam hidup ibu.
“Kamu adalah anak sulung ibu, anak perempuan kecil yang ibu impikan. Entah bagaimana, kita membesar bersama melalui begitu banyak fasa dan perjalanan kehidupan,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, penyanyi lagu Kerana Terluka itu turut mendoakan agar Ayu dikurniakan kematangan dan kebijaksanaan seiring dengan peningkatan usia.
“Kini kamu menginjak usia 28 tahun, doa ibu untukmu sederhana sahaja, semoga kamu menjadi lebih matang dan bijaksana, bukan sekadar bertambah usia.
“Belajarlah daripada setiap pengalaman, kenali dan fahami dirimu dengan lebih mendalam, dan jadilah lebih baik dalam mengenal pasti apa yang benar-benar baik untuk dirimu,” tulisnya.
Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab turut meluahkan rasa syukur di atas kehadiran anak perempuannya itu walaupun mengakui tidak sentiasa memahami setiap pilihan yang dibuat anaknya.
Dia juga menitipkan pesan reda serta menyerahkan segala urusan perjalanan hidup kepada ketentuan Ilahi.
“Ibu mungkin tidak sentiasa memahami setiap pilihan yang kamu buat, tetapi ibu tetap bersyukur dan meraikan hari kamu hadir dalam hidup ibu.
“(Dah tiada air mata kerana sudah melepaskan. Allah ada. Serahkan semuanya kepada-Nya. Kerana Dia ada cara-Nya sendiri untuk mengajar dan membesarkan kita),” tulisnya.
Mengakhiri hantaran itu, Nourul mendoakan agar tahun ini membawa ketenangan, kejelasan dan kebijaksanaan buat Ayu serta meminta orang ramai mendoakan yang terbaik buat mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd
