WASHINGTON: Serpihan pesawat pesawat perubatan yang membawa enam orang dan hilang berhampiran Nantucket, Massachusetts, ketika dalam penerbangan dari Bermuda ke Boston awal Sabtu ditemukan, menurut Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS).
Serpihan yang disahkan milik pesawat berkenaan ditemukan pada malam Sabtu, kata Pengawal Pantai dalam satu kenyataan.
Operasi mencari penumpang yang hilang masih dijalankan dan akan diteruskan sepanjang malam.
Memuatkan artikel berkaitan…
Pengawal Pantai memaklumkan pesawat itu membawa empat warga Kanada dan dua warga Bermuda.
Sebelum ini, pasukan pengawal pantai itu melancarkan operasi mencari selepas ia hilang ketika dalam penerbangan dari Bermuda ke Boston.
Pengawal Pantai berkata di X bahawa kapal permukaan dan pesawat sedang mencari pesawat Gulfstream G100 itu di perairan luar pantai Nantucket, Massachusetts.
Pesawat yang dikendalikan Latitude Air Ambulance yang berpangkalan di Kanada itu hilang sekitar 1.30 pagi waktu tempatan, kata jurucakap syarikat, Clarence Togeretz kepada AFP.
“Pesawat itu membawa dua juruterbang, dua kakitangan perubatan, seorang pesakit dan seorang anggota keluarga,” kata Togeretz, sambil menambah bahawa beliau tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai usaha menyelamat.
Pasukan Pengawal Pantai itu pada Sabtu memaklumkan bahawa pihak mereka telah terputus hubungan dengan sebuah pesawat yang membawa enam orang penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Bermuda ke Boston.
Nahas itu berlaku selepas empat mayat ditemukan bulan lalu susulan kehilangan sebuah pesawat yang membawa empat anggota sebuah keluarga ketika dalam penerbangan dari Bahamas ke Miami.
Pada 7 September lalu, pesawat PA-34 Piper yang mempunyai lima tempat duduk itu berlepas dari Great Harbour Cay menuju ke Lapangan Terbang Eksekutif Miami-Opa Locka.
Menara kawalan trafik udara kemudian terputus hubungan dengan pesawat itu kira-kira 13 batu di barat Pulau Andros, pulau terbesar di Bahamas, menurut Pasukan Polis Diraja Bahamas. – AGENSI




