Abdul Rahman mahu ‘kejar’ Mbarga

Abdul Rahman mahu ‘kejar’ Mbarga

PETALING JAYA: Perebutan gelaran penjaring terbanyak Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026 terus hangat apabila beberapa penyerang utama konsisten menunjukkan ketajaman penyudah.

Selepas mengharungi 21 perlawanan, penyerang import Kelantan Red Warriors FC (KRW), Emmanuel Mbarga masih mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 24 gol setakat ini.

Jumlah jaringan itu meletakkan Mbarga berada di hadapan pencabar terdekatnya iaitu penyerang muda Selangor FC II, Abdul Rahman Daud yang kini meledak 20 gol.

Walaupun ketinggalan empat gol di belakang Mbarga, Abdul Rahman dilihat sebagai antara pencabar utama berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkannya sepanjang musim ini.

Abdul Rahman yang dilahirkan di Syria itu, turut berharap dapat menyarung jersi skuad utama Selangor dan beraksi di Liga Super nanti.

“Sememangnya, itu jadi impian saya untuk jadi penjaring terbanyak tempatan untuk cuba kalahkan (penyerang) import,” kata Abdul Rahman.

Sekiranya Abdul Rahman berjaya memintas Mbarga, dia bakal mengikut jejak penjaring terbanyak Liga A1 sebanyak dua musim, Abdul Azim Rahim dengan 22 gol pada musim 2024-2025 dan 24 gol (2023).

Turut memberikan saingan sengit ialah penyerang import Imigresen FC II, Said Khamis di tangga ketiga dengan 17 gol, dibezakan tiga jaringan dengan Abdul Rahman.

Perbezaan jaringan antara ketiga-tiga pemain ini menjadikan perebutan gelaran penjaring terbanyak masih terbuka menjelang baki saingan musim ini.

Sementara itu, penyerang import Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dari Sepanyol, Celso Bermejo turut berada dalam kelompok pencabar selepas mengumpul 16 gol setakat minggu ke-24.-UTUSAN

Scroll to Top