AC Milan pilih Amorim, misi kembalikan kegemilangan Rossoneri

AC Milan pilih Amorim, misi kembalikan kegemilangan Rossoneri

Milan: AC Milan melantik Ruben Amorim sebagai ketua jurulatih baharu pasukan dalam usaha membina semula kekuatan kelab selepas melalui musim yang mengecewakan.

Pengendali berusia 41 tahun itu menggantikan Massimiliano Allegri yang dipecat susulan kegagalan membawa Milan layak ke Liga Juara Juara Eropah selepas sekadar menamatkan saingan Serie A di tangga kelima musim lalu.

Pelantikan Amorim dilihat sebagai sebahagian daripada proses rombakan besar-besaran dalam struktur bola sepak Rossoneri bagi mengembalikan status mereka sebagai pencabar utama di pentas domestik dan Eropah.

Amorim yang sebelum ini mencipta nama menerusi pendekatan taktikal moden dan keberanian mengetengahkan pemain muda mengakui sedar akan tanggungjawab besar yang menantinya di San Siro.

“Saya tahu dengan tepat apa makna kelab ini iaitu sejarah, prestij dan penyokong luar biasa di seluruh dunia.

“Ia adalah cabaran yang saya terima dengan penuh rasa bangga dan teruja, sambil menyedari apa yang diwakili oleh warna jersi ini.

“Saya tidak sabar untuk memulakan tugas dan merasai sendiri setiap hari semangat yang menggerakkan AC Milan,” katanya dalam satu kenyataan.

Milan berharap sentuhan Amorim mampu mengembalikan semula kegemilangan kelab yang pernah menjulang tujuh gelaran Liga Juara Juara itu selepas kempen lalu dianggap jauh daripada jangkaan penyokong.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top