NEGERI Sembilan FC (NSFC) menuntut kemenangan percuma secara ‘walkover’ selepas aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City di Stadium Tuanku Abdul Rahman, petang ini tidak dapat dilangsungkan pada saat akhir.
Dalam kenyataan, NSFC melahirkan kekecewaan terhadap keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu kerana segala persiapan bagi aksi sulung musim ini sudah disiapkan sepenuhnya.
“Sebagai pasukan tuan rumah, segala persiapan penganjuran perlawanan dari segi logistik, fasiliti, pasukan perubatan dan keselamatan sudah disiapkan sepenuhnya. Hal ini memberi impak yang besar memandangkan segala persiapan rapi menelan kos pengurusan yang tinggi di pihak kelab.
“Tambahan pula, insiden ini amat mengecewakan ribuan peminat setia skuad Jang. Berdasarkan rekod dan unjuran kelab, hal ini menjejaskan kira-kira 5,000 penyokong yang sudah membeli tiket lebih awal dan juga mereka yang merancang untuk membeli tiket terus di perkarangan stadium, hari ini.
“Memandangkan perkara ini di luar kawalan dan sama sekali bukan berpunca daripada pihak kami, NSFC dengan tegas menuntut agar kemenangan percuma secara ‘walkover’ diberikan kepada pihak NSFC,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, MFL mengesahkan perlawanan yang dijadualkan pada jam 5 petang itu tidak dapat dilangsungkan selepas menerima permohonan rasmi daripada KL City berikutan hampir separuh pemainnya disahkan mengalami influenza.
MFL berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai permohonan berkenaan dengan mengambil kira aspek kebajikan serta kesihatan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan.
“Kuala Lumpur City FC dalam permohonan rasmi itu menyatakan 15 pemain dan dua pegawai pasukan mengalami simpton demam, batuk, selsema dan cirit-birit menerusi surat laporan perubatan kepada MFL.
“Menurut kelab itu, semua pemain dan pegawai akan dirujuk ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling untuk rawatan lanjut memandangkan penyakit itu mudah merebak dan memerlukan masa bagi tujuan pemulihan.
“MFL bagaimanapun akan membawa perkara ini ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah untuk membuat keputusan mengenai status perlawanan itu dalam masa terdekat,” kata MFL.
Sementara itu, NSFC tetap akan mengadakan sesi latihan di stadium petang ini sebagai tanda penghargaan kepada penyokong yang hadir.
“Pihak kelab mengalu-alukan kehadiran penyokong ke stadium untuk menyaksikan sesi latihan ini secara terbuka. Berhubung tiket perlawanan yang sudah dibeli, sebarang urusan berkaitan tuntutan semula akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata NSFC.