mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aizu Group tampil dengan pendekatan promosi luar kebiasaan menjelang tayangan filem 5 Bomoh tidak lama lagi dengan menganjurkan acara Pickleball 5 Bomoh.
Kejohanan bakal menghimpunkan selebriti, pempengaruh media sosial dan pengamal media dalam suasana santai namun kompetitif.
Acara yang dijadual berlangsung di Cave PP ClubPickleball, Jalan Ampang pada 1 Jun ini bakal menjadi platform pertemuan antara dunia hiburan, media dan komuniti sukan yang kini semakin berkembang pesat di Malaysia.
Pengerusi Aizu Group, Datuk Aizuddin Ghazali berkata, kejohanan itu dijangka berlangsung meriah dengan penyertaan beberapa nama besar industri hiburan tanah air termasuk Datuk Amy Search, Datuk Aaron Aziz, Datuk Afdlin Shauki, Johan, Ozlynn Wati, Scha Al Yahya, Ungku Hariz serta penampilan istimewa bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut membuat kemunculan khas dalam filem 5 Bomoh.
“Turut memeriahkan acara ialah penyertaan selebriti popular, pempengaruh media sosial serta pengamal media dari pelbagai platform yang bakal berentap dalam pertandingan beregu campuran melibatkan sasaran penyertaan sebanyak 40 pasukan.
“Penganjuran itu dilihat bukan sekadar aktiviti promosi filem, sebaliknya menjadi usaha memperluaskan pendekatan pemasaran hiburan melalui elemen gaya hidup dan aktiviti komuniti yang dekat dengan masyarakat.
“Fenomena pickleball yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia turut menjadi faktor utama pemilihan sukan terbabit sebagai medium penyatuan kerana sifatnya yang inklusif, mudah dipelajari dan sesuai disertai pelbagai peringkat umur serta latar belakang,” katanya.
Menurutnya, pendekatan berkonsepkan hiburan dan sukan itu diharap mampu mewujudkan pengalaman lebih dekat antara selebriti, media dan orang ramai.
“Penganjuran Pickleball 5 Bomoh ini bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi platform untuk merapatkan hubungan antara selebriti, pempengaruh media sosial dan rakan media dalam suasana yang positif serta lebih santai.
“Pada masa sama, ia membawa mesej penting tentang gaya hidup sihat, kerjasama, toleransi serta semangat kebersamaan yang boleh diterapkan kepada masyarakat.
“Kejohanan itu juga menjadi simbol bagaimana industri hiburan kini semakin berkembang melalui pendekatan pemasaran lebih kreatif dan interaktif, selari perubahan trend pengguna serta pengaruh media digital masa kini,” katanya.
Pertandingan akan berlangsung secara peringkat kumpulan sebelum diteruskan ke pusingan kalah mati bagi menentukan juara kejohanan.
Dalam perkembangan berkaitan, filem 5 Bomoh yang diterbitkan oleh Global Station Sdn. Bhd., Skop ProductionSdn. Bhd. dan Aizu Group mengetengahkan genre satira komedi kekeluargaan dengan membawa mesej sosial berkaitan kepercayaan karut dan isu penipuan moden yang semakin membimbangkan.
Menariknya, filem itu mengangkat realiti semasa mengenai kewujudan individu yang menyalahgunakan kepercayaan masyarakat dengan menyamar sebagai bomoh atau dukun demi memperdaya mangsa, namun disampaikan menerusi pendekatan komedi sinis yang sarat mesej dan pengajaran.
Aizuddin menyeru orang ramai agar
hadir memeriahkan acara ini serta memberi sokongan kepada artis, pempengaruh dan pengamal media yang bakal beraksi dalam kejohanan Pickleball 5 Bomoh ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




