Anwar beri mandat penuh Saifuddin Nasution laksanakan tugas Timbalan Presiden PKR

Melaka: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberikan mandat penuh kepada Naib Presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden parti berkenaan.

Beliau berkata walaupun tugas baharu itu dilihat akan membebankan Saifuddin Nasution, langkah berkenaan perlu digalas Menteri Dalam Negeri itu memandangkan penyandang jawatan tersebut, Nurul Izzah Anwar akan bercuti buat sementara waktu.

“Jadi, saya fikir sahabat saya yang lama, yang paling setia, paling saya kenal dan faham (dengan cara kerja saya) agar meneruskan kerja sebagai Timbalan Presiden.

“Saya harap dengan pengumuman ini, seluruh kekuatan Keadilan akan beri seluruh sokongan, kerjasama dan ketaatan kepada beliau,” kata Anwar ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari terakhir Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mengumumkan seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Amirudin Shari dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya parti, manakala Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Penyelaras di Pejabat Perdana Menteri.

Mengulas kedudukan pimpinan di Negeri Sembilan, Anwar meminta Datuk Seri Aminuddin Harun untuk memberikan tumpuan penuh kepada tugas sebagai Naib Presiden parti serta portfolio latihan bagi memperkasakan ahli-ahli baharu PKR.

Beliau berkata pengalaman luas bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu amat diperlukan dalam mengemudi agenda pengkaderan parti pada pelbagai peringkat.

“Saudara Aminuddin masih diperlukan, pengalaman harus mengajar beliau dan mengajar kita. Saudara (Aminuddin), tumpukan (tugas) sebagai Naib Presiden dan memberikan latihan sebaik mungkin kepada anak-anak kita, itu tugas baharu,” kata beliau.

Anwar berkata beliau akan menjawab sendiri tuntutan enam Ketua Cabang PKR Negeri Sembilan yang mendesak penilaian semula kedudukan Aminuddin sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan.

Perdana Menteri berkata kekalahan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan itu pada 1 Ogos lepas tidak wajar disandarkan kepada Aminuddin semata-mata, sebaliknya harus digalas secara bersama.

“Jadi, mari kita terima kenyataan itu untuk baiki kesalahan itu, mudah-mudahan kita boleh tingkat semula (prestasi parti),” kata beliau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top