Tiada pengganti AUKU selepas dimansuhkan – Anwar

MELAKA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak akan digantikan dengan undang-undang baharu yang mengongkong mahasiswa.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan kebebasan mahasiswa tanpa menyekat kegiatan mereka di kampus.

“Kita sudah setuju tentang pemansuhan AUKU. Saya hendak jelaskan bahawa saya tidak mahu pindaan, AUKU wajib dimansuhkan sepenuhnya.

“Ada kebimbangan apabila AUKU dibatalkan, undang-undang baharu akan diperkenalkan yang turut mengongkong atau menyekat.

“Saya tidak akan benarkan mana-mana peraturan atau undang-undang gantian yang mengongkong kegiatan mahasiswa,” katanya ketika ucapan penggulungan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Ahad.

Katanya, undang-undang jenayah dan peraturan tatatertib sedia ada sudah memadai untuk dikenakan terhadap mahasiswa selepas pemansuhan AUKU.

“Saya tidak bermaksud untuk melonggarkan peraturan tatatertib atau undang-undang jenayah sedia ada, tetapi undang-undang khas bagi mahasiswa seperti AUKU tidak wajar diteruskan.

“Saya akan tegaskan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri bahawa saya tidak bersetuju dengan apa-apa pindaan atau akta penggantian yang mengekang kegiatan mahasiswa,” katanya.

Pada Sabtu, Anwar memberitahu kerajaan akan memansuhkan AUKU dan perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.

 

Scroll to Top