am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tambahan RM1 juta peruntukan untuk disalurkan kepada setiap kawasan Parlimen.
Katanya, peruntukan itu tidak disalur menerusi Ahli Parlimen sebaliknya menerusi agensi bertanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.
“Saya nak umumkan, untuk setiap kawasan Parlimen, langsung kepada rakyat, tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen,” katanya berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Menyentuh cadangan kenaikan kadar subsidi liter RON95 dan bantuan diesel, Anwar memaklumkan bersetuju untuk mempertimbangkannya.
“Tapi yang pentingnya, saya setuju dan saya akan umumkan kadar yang sepatutnya kemudian,” katanya.
Kelmarin, Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada kongres sayap itu meminta kadar subsidi liter RON95 dinaikkan, sementara Naib Presiden PKR Roland Engan ketika menggulung perbahasan pada kongres hari ini mengesyorkan supaya bantuan diesel di Sabah dan Sarawak juga ditingkatkan.
Selain itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR mahu kerenah birokrasi bagi urusan membantu usahawan termasuk mengenai dasar e-Invoice mesti diperbaiki.
“Ada yang mengeluh, kadang-kadang jentera kerajaan Persekutuan dan negeri, memang karenahnya luar biasa. Orang tunggu berjam-jam. Jadi sebab itu, soal usahawan ini, pertama, kerenah birokrasi mesti diperbaiki. Saya akui, kita boleh perbaiki.
“Ada yang mengeluh tentang e-Invoice. Saya di peringkat akhir untuk meneliti bagaimana boleh kita permudahkan. Kemudian juga tentang masalah yang berbangkit dengan e-commerce, juga kita akan cuba bereskan sebaik mungkin,” katannya.
Isu anak muda kata Anwar juga dibangkitkan dalam perbahasan kali ini, antara lain menyentuh soal pekerja gig.
“Kita sudah buat Suruhanjaya (Ekonomi) Gig (Malaysia (SEGiM)), tapi nampak belum memenuhi tuntutan mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
