Anytime Fitness dorong industri kecergasan tempatan

Anytime Fitness dorong industri kecergasan tempatan

Kuala Lumpur: Rangkaian kelab kecergasan yang semakin mencipta nama, Anytime Fitness Malaysia terus melakar pencapaian penting apabila meraikan pembukaan kelab ke-100 mereka di Aman Cheras, Kuala Lumpur.

Ia sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain utama industri kecergasan tempatan.

Pencapaian itu mencerminkan perkembangan pesat jenama berkenaan yang kini mempunyai kehadiran meluas di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Melaka, selain merancang peluasan ke Perak dalam masa terdekat.

Seiring kejayaan itu, Anytime Fitness Malaysia menyasarkan pembukaan 100 lagi kelab pada masa hadapan dengan aspirasi menjadi Rakan Kecergasan Nasional Malaysia, selain memperluas akses kepada gaya hidup aktif dan sihat untuk seluruh rakyat negara ini.

Akses kecergasan lebih inklusif

Pembukaan cawangan ke-100 itu turut mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kesihatan dan kecergasan, sekali gus mengukuhkan peranan Anytime Fitness sebagai kelab kemudahan senaman 24 jam kepada semua.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Inspire Brands Asia (IBA), Ryan Cheal.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Inspire Brands Asia (IBA), Ryan Cheal, berkata pencapaian itu bukan sekadar kejayaan perniagaan, sebaliknya satu langkah penting dalam memperluaskan akses kecergasan secara lebih inklusif.

“Matlamat kami adalah menjadikan kecergasan mudah dicapai oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja dan pada bila-bila masa. 

Pembukaan 100 kelab ini adalah pencapaian nasional yang dibina atas prinsip aksesibiliti,” katanya.

Menurutnya, pencapaian itu turut mencerminkan komitmen berterusan jenama ini dalam menyokong rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang lebih sihat menerusi kemudahan yang moden serta sokongan komuniti yang kukuh.

Beliau turut memaklumkan bahawa Anytime Fitness merancang untuk memperkenalkan latihan pemulihan atau recovery training bermula tahun 2026.

“Kebanyakan ahli kami terdiri daripada golongan bekerja yang menghabiskan banyak masa di pejabat, sekali gus menjadikan mereka lebih pasif dan kurang bertenaga.

“Oleh itu, pengenalan recovery training ini bertujuan memastikan ahli kekal aktif serta mampu menjalani rutin harian dengan lebih baik,” katanya.

Selain menyediakan peralatan dan fasiliti lengkap, Ryan berkata Anytime Fitness juga memberi tumpuan kepada aspek sokongan menyeluruh, termasuk panduan nutrisi seimbang.

“Kami ingin memastikan setiap usaha keras ahli membuahkan hasil, bukan sahaja dari segi kecergasan fizikal, tetapi juga perubahan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.

Pemilik francais Anytime Fitness Aman Cheras dan beberapa lagi cawangan Anytime Fitness, Simon Raadsma.

Sementara itu, pemilik francais Anytime Fitness Aman Cheras dan beberapa lagi cawangan Anytime Fitness, Simon Raadsma berkongsi pengalamannya dalam menjayakan pembukaan cawangan ke-100 ini.

“Perjalanan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita semua.

“Namun, saya percaya bahawa semua di sini memiliki satu persamaan dalam memastikan kesihatan rakyat Malaysia mencapai tahap yang lebih baik.

“Apa yang kita lakukan hari ini sememangnya membawa impak kepada kehidupan ramai. Dengan pembukaan cawangan baharu ini, Anytime Fitness kini lebih hampir ke matlamat tersebut,” jelasnya bangga.

Penambahbaikan berterusan

Mengulas perbezaan Anytime Fitness berbanding pengendali gimnasium lain di Malaysia, khususnya dalam pasaran kecergasan yang kompetitif, Ryan berkata, jenama itu mengamalkan penambahbaikan secara berkala dalam setiap tempoh lima tahun operasi.

“Dalam tempoh ini, peralatan digunakan secara aktif oleh ahli. 

“Justeru, kami melaksanakan proses ‘gym refresh’ bagi memastikan setiap peralatan diselenggara dengan rapi dan berada dalam keadaan terbaik,” jelasnya.

Ekosistem francais kukuh

Dari kiri: Pemilik beberapa francais Anytime Fitness Malaysia, Shananthan Gru dan Jayagobi Shanmugam, Pengurus Perniagaan Kawasan yang mewakili Ming Koh selaku pemilik beberapa francais Anytime Fitness di Malaysia, Singapura dan Indonesia, Jose Kamal serta pemilik beberapa francais Anytime Fitness di Malaysia dan Filipina, Simon Raadsma, menerima trofi dan jaket ungu khas sebagai pengiktirafan kejayaan pembukaan kelab Anytime Fitness di Malaysia, yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Inspire Brands Asia, Ryan Cheal.

Pertumbuhan pesat Anytime Fitness Malaysia turut disokong oleh ekosistem francais yang mantap, disokong oleh usahawan tempatan yang berkongsi aspirasi membina komuniti lebih sihat dan aktif.

Setiap kelab berfungsi sebagai hab kecergasan kejiranan yang menawarkan suasana mesra serta sokongan peribadi kepada ahli daripada pelbagai peringkat kecergasan.

Rangkaian ini juga menerima pelaburan melebihi RM50 juta daripada francais berbilang pasaran di rantau Asia Pasifik, termasuk Australia, Jepun, Singapura, Filipina dan Taiwan, sekali gus memperkukuh kedudukannya di peringkat serantau.

Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan jangka panjang, Anytime Fitness turut merancang untuk memperluas rangkaiannya ke Sabah dan Sarawak.

Menyokong gaya hidup aktif

Anytime Fitness terus menyokong keperluan individu dengan jadual harian yang padat.

Pengembangan jenama ini selari dengan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia yang semakin mengutamakan aktiviti fizikal, termasuk penyertaan dalam kelas berkumpulan, latihan intensiti tinggi (HIIT) serta latihan kekuatan.

Pencapaian ini menandakan peralihan ke arah amalan kecergasan jangka panjang dan pendekatan kesihatan yang lebih holistik.

Dengan model operasi 24 jam, sistem keselamatan berterusan serta ekosistem kejurulatihan bersepadu, Anytime Fitness terus menyokong keperluan individu dengan jadual harian yang padat dengan lebih lima juta ahli merentasi 6,000 kelab di peringkat global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top