ARSENAL disarankan untuk menaik taraf jentera serangan dengan membawa masuk Julian Alvarez bagi menajamkan lagi bahagian hadapan yang kini diterajui Viktor Gyokeres pada jendela perpindahan musim panas ini.
Gyokeres sebenarnya mempamerkan prestasi yang meyakinkan pada musim sulungnya bersama The Gunners selepas berhijrah dari Sporting CP pada musim panas lalu.
Pemain antarabangsa Sweden itu telah meledak 21 gol dalam semua kejohanan musim ini dan berpeluang menambah koleksi gol tersebut apabila Arsenal turun menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi final Liga Juara-Juara hujung minggu ini.
Bagaimanapun, baki cabaran buat Arsenal adalah untuk terus memperkasakan skuad sedia ada selepas mereka berjaya merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam tempoh lebih 20 tahun.
Salah satu bahagian yang dilihat boleh dipertingkatkan lagi adalah jentera serangan meskipun kelab London itu berjaya menghasilkan 71 gol dalam saingan liga domestik musim ini.
Juara EPL itu kini dikaitkan dengan minat terhadap penyerang Atletico Madrid, Alvarez yang dinilai pada harga £130 juta (RM695 juta), dengan kelab Sepanyol itu dilaporkan sedia mendengar tawaran untuk pemain kebangsaan Argentina berkenaan.
Pemain berusia 26 tahun itu yang menjaringkan lapan gol liga musim ini turut berada dalam radar buruan gergasi Sepanyol, Barcelona.
Bercakap dalam satu rancangan bual bicara, penganalisis sukan, Ally McCoist percaya Alvarez bakal membawa dimensi berbeza dan menjadi peningkatan yang lebih baik berbanding Gyokeres di Stadium Emirates.
“Gyokeres melalui musim yang baik dari segi angka (jaringan), tetapi adakah Alvarez satu peningkatan?” tanya pengacara, Jeff Stelling.
“Ya, sudah tentu. Saya telah melihat aksi Alvarez beberapa kali musim ini. Saya fikir dia adalah satu peningkatan,” jawab McCoist.
Bekas pemain Scotland itu bagaimanapun tetap memuji sumbangan Gyokeres sepanjang musim ini, namun mengakui Alvarez berada pada kelas yang tersendiri.
“Kita tidak boleh mengetepikan sumbangan Gyokeres kerana dia mengharungi musim yang baik. Statistiknya bagus dan saya melihat dia semakin berkembang serta meningkat sepanjang musim berjalan.
“Namun, saya fikir Alvarez adalah satu langkah ke hadapan (step up). Beliau memiliki kualiti yang lebih tinggi,” tambah McCoist.



