WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan langkah kawalan eksport cip kecerdasan buatan (AI) yang lebih ketat susulan skandal membabitkan pengasas bersama Nvidia, Jensen Huang, yang mendedahkan kelompongan peraturan yang didakwa dieksploitasi syarikat China.
Pengumuman itu dibuat sehari sebelum Nvidia, syarikat gergasi cip berpangkalan di California, mengumumkan keputusan kewangan pertamanya sejak Huang melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), ketika pelabur mempersoalkan sama ada ledakan industri AI mampu bertahan.
Baca juga: Filipina serah jawatan Pengerusi ASEAN kepada Singapura
Mengikut peraturan baharu Washington, pusat data di seluruh dunia perlu mendapatkan lesen AS untuk menyediakan kuasa pengkomputeran berskala besar menggunakan cip canggih kepada syarikat yang beribu pejabat di China, Macau atau negara lain yang dikenakan sekatan senjata oleh AS.
Peraturan itu turut mewajibkan lesen bagi penghantaran cip canggih ke Singapura, Malaysia, Thailand, Indonesia dan Brazil, iaitu negara yang menurut Jabatan Perdagangan AS mempunyai risiko pengalihan cip ke pihak lain lebih tinggi daripada biasa.
Perubahan itu dibuat bagi menutup kelompongan yang membolehkan syarikat China menyewa kuasa pengkomputeran AI daripada pusat data di Asia Tenggara dan kawasan lain yang menggunakan perkakasan AS yang tidak dibenarkan dieksport ke China.
Walaupun pihak berkuasa sudah lama mengetahui kewujudan kelompongan itu, pendedahan mengenai hubungan sulit Huang dengan seorang wanita yang disyaki menjadi perisik China mencetuskan penelitian lebih mendalam terhadap amalan berkenaan.
Wanita itu, Alice Huang, ialah bekas eksekutif Megaspeed, firma pengkomputeran awan berpangkalan di Singapura yang sedang disiasat pihak berkuasa AS atas dakwaan membantu syarikat China mendapatkan cip AI canggih Nvidia dengan melanggar peraturan kawalan eksport.
Jensen, 63, melepaskan jawatan minggu lalu selepas sekurang-kurangnya dua hubungan sulitnya termasuk bersama Alice terbongkar menerusi laporan media.
Berikutan kritikan yang diterima, Jabatan Perdagangan AS berkata, pihaknya akan menutup kelompongan yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa negara itu.
“Langkah itu bertujuan memastikan sekatan sedia ada terhadap akses kepada teknologi sensitif AS tidak dapat dipintas menerusi aturan pengkomputeran jarak jauh yang membabitkan pusat data di negara ketiga,” menurut kenyataan Biro Industri dan Keselamatan (BIS) jabatan berkenaan.
Saham Nvidia kehilangan lebih satu perempat daripada nilainya dalam tempoh sebulan lalu, ketika keraguan semakin meningkat terhadap prospek ledakan pelaburan AI.
Keputusan kewangan yang diumumkan pada Selasa itu merupakan yang pertama dibentangkan di bawah Ketua Pegawai Kewangan, Colette Kress, yang kini menjalankan tugas sebagai CEO sementara.
Penganalisis berkata, mereka turut memberi perhatian kepada unjuran jualan masa depan Nvidia serta prestasi jualan cipnya di Asia, khususnya Singapura.
Pada Selasa, Singapura berkata pihaknya sedang berhubung dengan syarikat terjejas serta mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa AS bagi mendapatkan penjelasan mengenai skop dan pelaksanaan langkah baharu itu.
Negara kota itu turut meneroka cara memudahkan akses yang dipercayai kepada cip AI untuk syarikat Singapura, menurut kenyataan kerajaan.
Indonesia pula berkata, pihaknya sedang meneliti langkah berkenaan dan mendapatkan pandangan industri mengenai kemungkinan kesannya terhadap operasi serta pelaburan, termasuk dalam sektor pusat data.-AFP
The post AS perketat kawalan eksport cip AI Nvidia, tutup ‘jalan belakang’ ke China appeared first on Utusan Malaysia.