KULAI – Kerajaan memperluaskan pelaksanaan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPN) kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin bagi memastikan lebih ramai anak golongan berpendapatan rendah berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi awam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, menerusi pelaksanaan BAeK PTPTN, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin yang berdaftar dalam pangkalan data eKasih.
Jelas beliau, ia merangkumi pelajar yang mengikuti pengajian sepenuh masa peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai 1 Januari 2026.
“Terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2026 diumumkan inisiatif biasiswa pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA dengan peruntukan RM120 juta setahun.
“Menerusi pengumuman di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah penerima inisiatif biasiswa pendidikan percuma PTPTN ini pula telah ditingkatkan kepada 10,000 orang pelajar daripada keluarga miskin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) di Taman Puteri, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, kerajaan bukan sahaja bergantung kepada senarai penerima dalam sistem eKasih, malah turut membuka ruang kepada pelajar daripada keluarga yang menghadapi kesukaran kewangan untuk memohon bantuan berkenaan.
“Maksudnya apabila sesebuah keluarga itu berada dalam eKasih, maka dengan sendirinya mereka akan dipertimbangkan secara automatik. Namun kita tidak boleh hanya bersandarkan kepada kategori itu semata-mata.
“Ada juga keluarga yang mungkin mempunyai pendapatan RM2,000 atau RM3,000 sebulan tetapi menanggung ramai anak dan berdepan kesukaran untuk membiayai pengajian,” katanya.
Beliau berkata, pihak kementerian turut meminta pengurusan universiti mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan kewangan bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pengajian disebabkan kekangan kewangan.
Katanya, selain kemudahan pinjaman PTPTN, pelajar yang memerlukan turut boleh mendapatkan bantuan menerusi Yayasan Perkasa Siswa.
Sementara itu, Pengerusi PTPN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, BAeK PTPTN diwujudkan bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah memperoleh akses pendidikan tinggi sekali gus meningkatkan taraf hidup keluarga mereka pada masa depan.
“Kita berharap apabila mereka berjaya menamatkan pengajian dan bergraduasi, mereka dapat mengubah nasib keluarga masing-masing.
“Dengan cara itu, pada masa depan, adik-beradik mereka pula dapat meneruskan pengajian dalam keadaan lebih selesa hasil bantuan yang diberikan kepada keluarga mereka hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Norliza berkata, setakat 31 Mei lalu, BAeK PTPTN sudah memanfaatkan seramai 402 pelajar di seluruh negara dengan jumlah peruntukan berjumlah RM8.79 juta sejak ia mula diperkenalkan pada tahun ini.
Beliau berkata, BaeK PTPTN ditawarkan kepada pelajar tempatan berumur tidak melebihi 25 tahun pada tarikh permohonan dan kursus diikuti mendaftar dengan PTPTN, mempunyai akaun Simpan SSPN yang aktif, tiada tunggakan pinjaman dan baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan tidak kurang daripada satu semester.
Tambahnya, pelajar akan ditawarkan biasiswa sebanyak RM4,750 setahun bagi Diploma dan RM6,180 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda (Sastera) dan RM6,650 setahun bagi ljazah Sarjana Muda (Sains).



