Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan tegas terhadap warga tempatan yang menyalahgunakan lesen perniagaan dengan membenarkan warga asing menggunakannya, termasuk membatalkan lesen dan menyenarai hitam pemilik yang terlibat.
Usaha bentung kegiatan warga asing
Memetik laporan daripada Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyatakan tindakan itu perlu bagi membendung kegiatan warga asing berniaga tanpa lesen yang masih berlaku, terutama di ibu negara.
Ujarnya, beliau turut meminta DBKL mempertingkatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan lesen perniagaan yang dikeluarkan benar-benar digunakan oleh pemohon yang layak.
“Kalau kita tahu dan mengesan warga Malaysia yang dapat lesen perniagaan tetapi dia ‘sub’ (memberikan lesennya) kepada warga asing, DBKL akan membatalkan lesen itu.
“Kita memang tidak akan berkompromi dengan perbuatan itu, malah kita terus senarai hitam pemilik lesen yang didapati berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media projek naik taraf bilik multisensori pendidikan khas, mengecat bangunan sekolah dan menaik taraf gelanggang mini serba guna Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Sinar, di sini, hari ini.
Perkara tersebut dinyatakan Hannah ketika diminta mengulas isu warga asing yang masih menjalankan perniagaan tanpa lesen, khususnya di ibu kota, meskipun perkara itu sering menjadi perhatian orang ramai.
Kerjasama beberapa agensi perlu diperkukuh
Situasi berkenaan turut mendorong segelintir rakyat tempatan mengambil tindakan sendiri dengan meninjau dan mendedahkan lokasi peniaga warga asing terbabit.
Menurutnya, DBKL sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala dan tidak akan berkompromi terhadap kegiatan perniagaan tanpa lesen.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh bertindak sendirian kerana bidang kuasa mereka terhad mengikut akta yang dikuatkuasakan.
Justeru, kerjasama antara agensi seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diperkukuh bagi memastikan operasi penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata penggunaan kamera badan dalam kalangan anggota penguat kuasa DBKL yang masih terhad ketika ini dijangka diperluas kepada hampir keseluruhan anggota menerusi peruntukan tahun depan.
Langkah itu bertujuan meningkatkan keselamatan serta memastikan ketelusan sepanjang operasi penguatkuasaan dijalankan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut berkenaan memaklumkan pejabatnya menyalurkan RM99,367 melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Kuala Lumpur kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Sri Sinar.
Peruntukan itu bagi membaik pulih dan menaik taraf bilik multisensori pendidikan khas serta mengecat bangunan sekolah berkenaan.
Sumber: Berita Harian (Noor Hidayah Tanzizi)




