KANGAR: Terminal feri Kuala Perlis yang mula beroperasi sekitar tahun 1993 menjadi antara tumpuan pengunjung dari seluruh negara yang mahu menggunakan perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi, Kedah.
Semasa pengoperasian awal terminal itu, tiada sebarang isu timbul dengan kekerapan perjalanan sehingga 10 trip sehari bermula dari pukul 7 pagi sehingga 7 malam untuk setiap perjalanan sehala.
Namun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu alur pelayaran cetek disebabkan mendapan lumpur dan beting pasir semakin meruncing sehingga menyebabkan perkhidmatan itu terpaksa mengehadkan operasi dengan kekerapan hanya tiga trip sehari bermula Mac baru-baru ini.
Biarpun kerja-kerja pengerukan dilaksanakam setiap tahun, namun usaha tersebut dianggap bukan penyelesaian menyeluruh berikutan isu sama masih berulang dan membelenggu semula perkhidmatan feri buat pengguna.
Sebagai rekod, bermula dari 2003 hingga 2022, sejumlah RM101.1 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja pengerukan di muara Kuala Perlis dalam mengatasi isu alur pelayaran cetek.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, isu alur pelayaran yang cetek itu sememangnya memberi kesan kepada perkhidmatan feri namun kerajaan negeri turut bercadang melaksanakan beberapa kaedah dalam mengatasi permasalahan tersebut.
“Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah pembinaan jeti atau tambatan yang memanjang kira-kira satu hingga dua kilometer ke tengah laut. Ketika ini terdapat dua atau tiga cadangan daripada pelabur yang berminat melaksanakan projek tersebut,” katanya.
Menurut Abu Bakar, anggaran kos keseluruhan bagi pelaksanaan itu juga adalah sekitar RM500 juta dan kerajaan negeri sedang menilai cadangan terbaik daripada pelabur-pelabur yang berminat.
Katanya, perbincangan itu juga setakat ini telah mencapai tahap kira-kira 60 peratus sebelum dimuktamadkan.
“Apabila kemudahan itu siap dibina, masalah mendapan selut dan feri terkandas juga dijangka dapat diatasi sepenuhnya. Jika operasi feri terganggu, kita mengalami kerugian kerana pelancong akan memilih laluan lain,” katanya.
Katanya, kaedah pengerukan yang dilaksanakan setiap tahun bukanlah penyelesaian jangka panjang berikutan menelan kos sehingga mececah juta ringgit namun tidak menyelesaikan isu itu secara menyeluruh.
“Sebaliknya, pembinaan infrastruktur baharu merupakan pelaburan sekali sahaja yang mampu menyelesaikan masalah dalam jangka panjang dan memberi manfaat kepada ekonomi negeri,” katanya.




