KUALA LUMPUR – Bekas pelatih penerbangan Batch 11 ITNS 2009 merayu bantuan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk mendapatkan pertimbangan semula Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhubung tuntutan bayaran balik pinjaman berjumlah RM204,280.50.
Mohammad Hafiz Yaacob berkata, tuntutan berkenaan amat membebankan selepas latihan penerbangan yang sepatutnya membawa kepada lesen juruterbang komersial (CPL) tidak dapat diselesaikan susulan masalah yang berlaku di sekolah penerbangan berkenaan.
Menurutnya, beliau menyertai ITNS di Ipoh pada 2009 dengan pembiayaan MARA berjumlah lebih RM250,000 yang dibayar secara sekali gus kepada pihak institusi bagi membiayai latihan penerbangan.
“Ketika itu kami masuk dengan impian untuk menjadi juruterbang, kami masih muda dan percaya latihan yang kami ikuti akan membawa kami kepada kerjaya tersebut.
“Kami belajar dan menjalani latihan seperti yang ditetapkan, tetapi kemudian berlaku masalah dengan sekolah penerbangan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, dalam usaha meneruskan latihan, beliau bersama beberapa pelatih lain kemudiannya dihantar ke Sydney, Australia.
Bagaimanapun, katanya, sekolah atau institusi latihan di Sydney turut ditutup menyebabkan mereka terpaksa pulang ke Malaysia.
“Apabila kami kembali ke Ipoh, ITNS pula ditutup dan syarikat yang mengendalikan sekolah itu juga tidak lagi beroperasi.
“Akibatnya latihan kami terhenti dan kami tidak sempat pun memperoleh lesen juruterbang persendirian (PPL), sedangkan program asal adalah untuk meneruskan latihan sehingga CPL,” katanya.
Mohammad Hafiz berkata, mereka pernah mendapatkan bantuan MARA ketika berdepan masalah berkenaan dengan harapan dapat mencari penyelesaian terhadap latihan yang tidak dapat diteruskan.

Mohammad Hafiz (kiri) bersama rakannya.
Bagaimanapun, katanya, mereka diminta mengambil tindakan terhadap pihak sekolah terlebih dahulu.
“Masalahnya, sekolah penerbangan itu sudah ditutup dan syarikat yang mengendalikannya juga sudah tidak beroperasi.
“Bagaimana kami mahu mengambil tindakan terhadap pihak sekolah sedangkan sekolah dan syarikat itu sendiri sudah tutup?” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beliau dan rakan-rakan daripada Batch 11 ITNS 2009 meneruskan kehidupan masing-masing dengan laluan berbeza.
Katanya, ada antara mereka yang berjaya meneruskan kerjaya dalam bidang penerbangan dan menjadi juruterbang, manakala sebahagian yang lain terpaksa meninggalkan impian berkenaan dan bekerja dalam bidang lain.
“Ada yang bekerja dalam sektor kerajaan dengan pendapatan sederhana, malah ada juga rakan yang melalui tekanan sehingga meninggalkan bidang penerbangan,” katanya.
Mohammad Hafiz berkata, walaupun latihan tidak dapat diselesaikan, mereka tetap berusaha memenuhi tanggungjawab terhadap pembiayaan MARA dengan membuat bayaran balik sedikit demi sedikit mengikut kemampuan.
“Kami bukan terus abaikan pinjaman. Kami ada bayar sedikit demi sedikit.
“Tetapi selepas bertahun-tahun, keadaan kehidupan dan kewangan masing-masing berubah, sampai satu tahap, kami memang tidak lagi mampu untuk meneruskan bayaran seperti yang sepatutnya,” katanya.
Lebih 15 tahun selepas latihan terhenti, beliau kini menerima notis tuntutan daripada firma guaman yang mewakili MARA berjumlah RM204,280.50.
Beliau berkata, jumlah itu amat besar berbanding kemampuan kewangannya ketika ini.
“Selepas lebih 15 tahun, kami masih berdepan tuntutan yang besar berbanding kemampuan kami.
“Sedangkan latihan yang kami ikuti untuk mendapatkan CPL itu terhenti dan kami tidak sempat pun memperoleh PPL,” katanya.
Mohammad Hafiz menegaskan rayuan itu bukan bertujuan mengelak tanggungjawab atau meminta MARA melupakan pinjaman berkenaan.
Sebaliknya, beliau berharap keseluruhan keadaan yang berlaku sejak 2009 dapat dinilai semula, termasuk penutupan sekolah penerbangan dan syarikat yang mengendalikan institusi berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengetahui terdapat bekas pelatih lain yang menerima pengurangan bayaran balik daripada MARA.
Menurutnya, berdasarkan surat MARA yang diterima bekas pelatih berkenaan, jumlah pinjaman RM342,916 dikenakan kadar bayaran balik 25 peratus, menjadikan amaun perlu dibayar RM85,729.
Surat berkenaan menyatakan kelulusan itu dibuat melalui Mesyuarat Bil. 06/2023 bertarikh 14 Julai 2023.
“Saya tidak mempertikaikan pengurangan yang mereka terima, malah saya bersyukur jika mereka mendapat penyelesaian.
“Tetapi saya juga berharap kes kami dapat dilihat semula. Apakah kriteria dan pertimbangan yang digunakan untuk pengurangan tersebut dan adakah keadaan kami juga boleh dipertimbangkan?” katanya.
Mohammad Hafiz berharap Asyraf Wajdi dapat membantu membawa perkara itu kepada perhatian pihak berkaitan supaya ruang perbincangan dapat dibuka semula antara bekas pelatih dan MARA.



