Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggesa kerajaan supaya membenarkan kembali aktiviti sukan yang dihentikan sejak Mac lalu berikutan wabak COVID-19.
MOM dalam sebuah kenyataan memaklumkan bahawa penggiat sukan bersedia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan oleh agensi kerajaan berkaitan agar atlet dapat menyambung kembali latihan persediaan mereka untuk mengharungi pelbagai pertandingan yang dijadual berlangsung pada tahun 2021.
Perkara itu adalah antara butiran penting yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-195 yang telah diadakan secara maya semalam.
Kemudian, Perhimpunan Agung Tahunan ke-39 juga diadakan selepas mesyuarat itu dengan ahli MOM meluluskan laporan tahunan 2019 serta akaun yang diaudit untuk tahun berakhir 31 Disember 2019.
Presiden MOM iaitu Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mempengerusikan kedua-dua mesyuarat itu yang dihadiri ahli lembaga MOM serta wakil daripada Kementerian Belia dan Sukan, Institut Sukan Malaysia, Majlis Sukan Negara, Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Atlet.
Selain itu, lebih 100 wakil daripada lebih 50 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) juga menghadiri mesyuarat itu.
Sumber: HM
Akmal Hakim
Sports Desk