Bukan sekadar lontar batu, tetapi melontar nafsu dan ego

Bukan sekadar lontar batu, tetapi melontar nafsu dan ego

MAKKAH – Ibadah melontar jamrah sering dilihat sekadar rutin fizikal dalam rangkaian ibadah haji. Namun di sebalik lontaran batu-batu kecil itu, tersirat falsafah mendalam mengenai ketaatan, disiplin dan perpaduan ummah.

Menurut Ustaz Haji Ahmad Fauwaz bin Datuk Ustaz Haji Fadzil, asas utama ibadah melontar adalah konsep ta’abbudi, iaitu kepatuhan mutlak seorang hamba terhadap syariat ALLAH SWT.

Beliau menjelaskan, jemaah melontar bukan kerana melihat syaitan secara fizikal, sebaliknya ia menjadi tanda ketaatan kepada perintah ALLAH SWT.

“Asas melontar ini adalah ta’abbudi, tanda kepatuhan kita kepada ALLAH Azzawajalla. Kita tidak nampak syaitan, tetapi kita melaksanakan perintah ini sebagai manifestasi iman,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, ibadah tersebut turut mendidik jiwa serta membentuk disiplin dalam kalangan jemaah apabila mereka diajar untuk tidak berebut-rebut ketika melaksanakan lontaran.

“Jemaah dilatih melontar dalam keadaan tenang walaupun berada di tengah lautan manusia. Di situlah pendidikan jiwa berlaku,” ujarnya.

Dalam pada itu, tambah beliau, antara hikmah terbesar ibadah melontar jamrah ialah ia memperlihatkan solidariti umat Islam apabila jutaan jemaah mampu bekerjasama tanpa mencederakan antara satu sama lain.

“Kita melontar beramai-ramai, namun kita berusaha untuk tidak mencederakan sahabat di hadapan kita. Ini menunjukkan toleransi yang tinggi.

“Jika perkara sekecil melontar batu pun umat Islam boleh bekerjasama, apatah lagi jika melibatkan agenda besar ummah,” katanya.

Menurut beliau, suasana harmoni itu membuktikan umat Islam merupakan golongan yang saling bertakaful, menyayangi dan bersatu dalam menolak sifat-sifat syaitan.

Mengulas mengenai profil jemaah haji, beliau menyifatkan mereka sebagai golongan istimewa kerana dikurniakan kesihatan yang baik, kemampuan ekonomi serta keberanian menyahut panggilan Ilahi.

“Mereka berani kerana sanggup meninggalkan kebimbangan terhadap rumah dan keluarga demi memenuhi seruan ALLAH SWT,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan agar impak ibadah haji diterjemahkan melalui perubahan sikap yang lebih baik selepas selesai menunaikan ibadah tersebut.

Katanya, jemaah perlu meningkatkan rasa syukur, memperbanyakkan zikir dan terus istiqamah melakukan amalan kebaikan selepas pulang ke tanah air.

Antara amalan yang disarankan ialah memperbanyakkan sedekah, istiqamah membaca al-Quran dan berselawat serta menyuburkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW dengan menziarahi makam Baginda.

Jelas beliau, ibadah melontar jamrah bukan sekadar melempar batu ke arah tiang, sebaliknya simbolik kepada usaha melontar keluar nafsu dan ego demi menjadi insan lebih bertakwa serta penyayang sesama manusia.

 

Scroll to Top