‘Perpaduan rakyat kunci kemenangan Iran menentang AS-Israel’ – Mojtaba Khamenei

‘Perpaduan rakyat kunci kemenangan Iran menentang AS-Israel’ – Mojtaba Khamenei

TEHERAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyyed Mojtaba Khamenei menggesa rakyat negara itu mempertahankan ‘nikmat besar perpaduan nasional’ yang menurutnya menjadi faktor utama kemenangan Iran dalam perang terbaharu menentang Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Dalam mesej sempena ulang tahun pertama sidang Parlimen Republik Islam Iran pada Khamis, beliau mendakwa Washington dan Tel Aviv kini berusaha mencetuskan perpecahan dalaman selepas gagal mencapai matlamat ketenteraan terhadap Teheran.

Menurut beliau, musuh kini menggunakan tekanan ekonomi, perang propaganda dan sekatan bagi melemahkan kestabilan sosial Iran serta memecah-belahkan rakyat.

“Rancangan musuh selepas perang yang dipaksakan, tekanan ekonomi dan kepungan propaganda adalah untuk mencetuskan perpecahan sosial bagi menampung kegagalan mereka di medan perang,” katanya.

Mojtaba turut merujuk kepada konflik yang bermula pada 28 Februari lalu melibatkan serangan AS-Israel terhadap Iran sebelum berakhir dengan gencatan senjata pada 8 April selepas serangan balas Iran terhadap pangkalan tentera AS dan Israel di rantau itu.

Beliau menyifatkan tempoh tersebut sebagai “Pertahanan Suci Ketiga” dan mendakwa ketabahan rakyat Iran berjaya dibuktikan kepada dunia.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Parlimen Iran memainkan peranan penting sebagai institusi utama dalam memperkukuh demokrasi berteraskan agama serta melaksanakan kehendak rakyat.

Mojtaba turut menggesa ahli Parlimen memberi fokus kepada pemulihan negara pascaperang, termasuk menangani isu ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

Antara agenda utama yang digariskan termasuk mengawal inflasi, meningkatkan pengeluaran domestik, memperkukuh peluang pekerjaan, memerangi rasuah kewangan dan menghapuskan kemiskinan.

Beliau turut menyeru kerjasama lebih erat antara Parlimen, badan kehakiman dan pentadbiran kerajaan di bawah slogan “ekonomi rintangan dalam bayangan perpaduan nasional dan keselamatan negara”.

Menurutnya, perpaduan nasional perlu dipertahankan dan pertikaian politik tidak seharusnya bertukar menjadi konflik yang boleh melemahkan negara.

“Semua pihak terutama golongan elit politik dan intelektual perlu menjaga perpaduan dan mengelakkan pertelingkahan kosong yang boleh menonjolkan perbezaan sosial,” katanya.

Mojtaba juga menegaskan Iran kini berada dalam kedudukan baharu di rantau Asia Barat dan arena antarabangsa, justeru ahli politik perlu bertindak secara bijaksana dalam menghadapi tekanan kuasa besar dunia.

Beliau mengakhiri mesej tersebut dengan menyeru rakyat dan pemimpin negara terus mempertahankan kemerdekaan serta maruah Iran di tengah ketegangan geopolitik yang masih berterusan di rantau itu.-Agensi

Scroll to Top