AS, Iran capai persetujuan sementara lanjut gencatan senjata, tertakluk kelulusan Trump

AS, Iran capai persetujuan sementara lanjut gencatan senjata, tertakluk kelulusan Trump
AS, Iran capai persetujuan sementara lanjut gencatan senjata, tertakluk kelulusan Trump

Perunding Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai persetujuan sementara bagi melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari serta rangka kerja rundingan nuklear. Gambar hiasan

WASHINGTON – Perunding Amerika Syarikat (AS) dan Iran mencapai persetujuan sementara bagi melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari serta rangka kerja rundingan nuklear, menurut sumber AS kepada Anadolu Ajansi pada Khamis.

Sumber AS memaklumkan bahawa memorandum persefahaman itu masih tertakluk kepada kelulusan muktamad Presiden Donald Trump, walaupun perunding kedua-dua pihak sebahagian besarnya telah memuktamadkan syarat perjanjian.

Bagaimanapun, Naib Presiden JD Vance kemudian mengesahkan secara rasmi pada Khamis bahawa AS dan Iran kini “sangat hampir” menandatangani dokumen bersejarah itu.

“Kami masih belum memuktamadkan beberapa perkara berkaitan penggunaan bahasa dalam dokumen itu dan terus memperhalusinya. Kami telah mencapai banyak kemajuan,” kata Vance.

“Diharapkan kami akan terus mencapai kemajuan dan presiden berada pada kedudukan untuk menyokong perjanjian itu, namun perkara itu masih TBD (belum diputuskan),” tambah beliau. “Saya tidak dapat menjamin bahawa kami akan berjaya mencapainya… namun pada ketika ini, saya berasa agak positif mengenainya.”

Anadolu Ajansi, memetik Axios melaporkan bahawa perjanjian yang lebih luas bagi memenuhi tuntutan Washington terhadap program nuklear Iran memerlukan rundingan lanjut.

Pegawai AS yang dipetik agensi berita itu berkata perunding Iran kemudian memaklumkan kepada pengantara bahawa mereka telah memperoleh kelulusan yang diperlukan dan bersedia menandatangani perjanjian itu, walaupun Tehran belum mengesahkan dakwaan berkenaan secara terbuka.

Laporan itu menyatakan bahawa perunding AS telah memberi taklimat kepada Trump mengenai cadangan itu, namun presiden meminta lebih masa sebelum membuat keputusan.

Di bawah memorandum yang dicadangkan itu, perkapalan komersial melalui Selat Hormuz akan terus “tidak disekat”, lapor Axios. Iran juga dikehendaki mengalihkan semua periuk api di laluan air strategik itu dalam tempoh 30 hari serta tidak mengenakan tol atau mengganggu kapal.

Laporan itu menambah bahawa sekatan laut oleh tentera laut AS akan ditarik balik secara berperingkat selaras dengan pemulihan aktiviti perkapalan komersial.

Menurut Axios, memorandum itu turut merangkumi komitmen Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear serta memberi keutamaan kepada rundingan mengenai stok uranium diperkaya tinggi milik Tehran dan aktiviti pengayaan sepanjang tempoh 60 hari berkenaan.

“Sebagai balasan, AS akan bersetuju membincangkan pelonggaran sekatan serta pelepasan dana Iran yang dibekukan sebagai sebahagian daripada rundingan, manakala memorandum itu turut merangkumi mekanisme untuk memudahkan penghantaran barangan dan bantuan kemanusiaan ke Iran.” – Bernama 

Scroll to Top