
Sistem pertahanan udara Iran. Gambar fail PressTV
TEHERAN – Iran mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah dron milik Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menceroboh ruang udara negara itu berhampiran bandar selatan Bushehr, ketika ketegangan di Selat Hormuz terus memuncak.
Menurut laporan agensi berita Tasnim pada Khamis, sumber ketenteraan Iran mengesahkan pesawat tanpa pemandu itu dipintas selepas memasuki kawasan sensitif berhampiran wilayah Bushehr.
“Pemintasan dron penceroboh Amerika dilakukan menerusi pelancaran peluru berpandu pertahanan udara,” menurut sumber itu.
Agensi berita Fars pula melaporkan sistem pertahanan udara bersepadu Iran bertindak terhadap pesawat tersebut di kawasan perairan Teluk Parsi berhampiran bandar Jam dan Kangan di Bushehr.
Operasi mencari serpihan dron berkenaan masih dijalankan, namun setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada Washington mengenai insiden tersebut.
Bushehr merupakan lokasi penting strategik Iran kerana menempatkan Loji Kuasa Nuklear Bushehr selain pernah menjadi sasaran serangan sepanjang konflik Iran-AS dan Israel yang tercetus antara Februari hingga April lalu.
Insiden terbaharu itu berlaku sehari selepas Iran mendakwa Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menghalang sebuah kapal tangki minyak AS daripada melintasi Selat Hormuz secara haram.
Menurut Tasnim, kapal berkenaan didakwa mematikan sistem pengesanan ketika cuba memasuki laluan strategik tersebut sebelum diarahkan berpatah balik oleh pasukan Iran.
Sebagai tindak balas, tentera AS dilaporkan melancarkan serangan terhadap kawasan terbuka berhampiran Bandar Abbas di selatan Iran.
Teheran sebelum ini mengumumkan sekatan terhadap laluan di Selat Hormuz ke atas negara musuh dan sekutu mereka sebagai respons kepada serangan ketenteraan yang disifatkan Iran sebagai ‘pencerobohan tidak diprovokasi’.
Ketegangan berterusan itu berlaku walaupun Presiden AS, Donald Trump, baru-baru ini memberi bayangan kemungkinan memorandum persefahaman antara Washington dan Teheran dapat dicapai.
Bagaimanapun, Iran menegaskan beberapa syarat utama perlu dipenuhi termasuk penghentian serangan di semua medan, penamatan sekatan laut AS, pemansuhan sekatan ekonomi serta pembebasan aset Iran yang dibekukan di luar negara.-Agensi



