Carolan kesal Malaysia hadiahkan penalti sudut mudah kepada India

Carolan kesal Malaysia hadiahkan penalti sudut mudah kepada India

KETUA Jurulatih Hoki Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan mengakui kelemahan bertahan, khususnya ketika mempertahankan penalti sudut, menjadi antara faktor utama skuad Speedy Tigers tewas kepada juara bertahan India, pada final hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terlepas peluang meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Carolan berkata, kelemahan mempertahankan penalti sudut pada detik penting, menyebabkan Malaysia hilang kawalan terhadap perlawanan, selain memaksa mereka mengejar permainan selepas ketinggalan jaringan.

“Memberikan penalti sudut mudah sedikit sebanyak menyebabkan kami kehilangan rentak permainan dan apabila sudah ketinggalan, kami terpaksa mengejar permainan kerana ketinggalan beberapa gol.

“Pertahanan penalti sudut pada detik-detik penting menyakiti kami. Ia hampir merugikan kami ketika menentang Pakistan dan ia benar-benar menyakiti kami hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Malaysia pada awalnya mempamerkan aksi meyakinkan apabila mampu menyaingi intensiti fizikal India dan mengekalkan kedudukan seimbang dalam tempoh 20 minit pertama.

Namun, beberapa kesalahan berulang di dalam kawasan D, memberikan India peluang melalui situasi bola mati, sekali gus menggugat benteng pertahanan Malaysia apabila perlawanan memasuki separuh masa kedua.

Carolan turut menyifatkan kekurangan pendedahan berdepan pasukan bertaraf dunia secara konsisten, sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi anak buahnya pada penghujung perlawanan.

“Saya fikir kami bagus dalam 20 minit pertama dan jelas tidak begitu baik dalam 30 hingga 40 minit terakhir.

“Jika anda bermain dalam Liga Pro secara konsisten seperti India, anda sudah biasa bermain pada tempo yang sangat tinggi. Untuk pemain kami berdepan pasukan besar dengan lebih konsisten akan membantu dari segi itu,” katanya.

Walaupun kecewa dengan keputusan pada final, Carolan tetap memuji usaha pemainnya sepanjang kempen, yang menyaksikan mereka mengharungi enam perlawanan termasuk kebangkitan mengagumkan ketika menentang Pakistan sebelum ini.

Beliau menegaskan skuad negara kekal bermotivasi untuk bangkit dan mengalihkan fokus kepada kejohanan kelayakan Olimpik yang akan datang.

Memperkemaskan benteng pertahanan serta memperluas kedalaman skuad, antara aspek yang perlu diberi perhatian menjelang cabaran seterusnya menurut Carolan. – Bernama

 

 

Scroll to Top