Curi barang kemas: Pembantu peribadi pelakon wanita dilepaskan dengan jaminan polis

Curi barang kemas: Pembantu peribadi pelakon wanita dilepaskan dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR – Pembantu peribadi kepada seorang pelakon wanita popular yang ditahan pada Rabu lalu selepas didakwa mencuri barangan kemas telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Nazruel Ekram Abu Saare berkata, wanita terbabit dibebaskan susulan tempoh remannya selama empat hari berakhir hari ini.

“Suspek dibebaskan dengan jamin polis sementara siasatan dilengkapkan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam secara ringkas ketika dihubungi hari ini.

Pada Jumaat lalu, wanita berusia 28 tahun itu ditahan disyaki terlibat kes curi di rumah pelakon wanita yang juga majikannnya di Taman Cempaka pada 26 Jun lalu.

Nazruel berkata, pelakon wanita itu menyedari emas miliknya tiada dalam simpanan semasa berada di rumah dan mengalami kerugian kira-kira RM30,000.

Susulan itu, suspek wanita telah ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor dan direman empat hari sehingga Ahad.

Suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi di dalam bangunan. – MalaysiaGazette

Scroll to Top