Dakwaan ganggu rumah tangga pelakon, Ira Kazar dipanggil ke Jawi

Wanita yang dikaitkan dengan rumah tangga pelakon, Puteri Sarah Liyana dan suaminya Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar dipanggil ke pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Menurut laporan Harian Metro, difahamkan ia untuk membantu siasatan mengenai tindakan saman yang difailkan Puteri Sarah sebelum ini terhadap Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin.

Sumber memaklumkan, wanita berusia 27 tahun itu yang juga anak kepada pelakon veteran Kazar hadir ke pejabat Jawi bersama ahli keluarganya.

Selain itu, pihak jawi turut mengesahkan perkara tersebut tetapi tidak mahu mengulas lanjut sebaik dihubungi Harian Metro.

Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor berhubung gangguan diterima yang berlarutan sejak empat tahun lalu.

Gara-gara gangguan orang ketiga itu, dia dikhabarkan tidak lagi tinggal sebumbung dengan Syamsul yang juga pengarah terkenal namun tidak bermaksud mahu berpisah.

Malah pada Jun lalu, Syamsul menafikan dia sudah melangsungkan pertunangan dengan Ira sebaliknya sekadar gosip bertebaran semata-mata.

Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5; dan Summayah, 3.

Sumber: Harian Metro , Instagram Ira Kazar & Puteri Sarah