khairil.ashraf@hmetro.com.my
Putrajaya: DAP membuat keputusan untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat tempoh penggal Parlimen.
Keputusan itu dibuat selepas 1,857 perwakilan DAP yang hadir mengundi untuk kekal dalam Kerajaan Persekutuan, manakala 242 mengundi untuk keluar.
Pengumuman keputusan itu dibuat oleh Speaker Persidangan Parti DAP 2026, Cha Kee Chin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Terdahulu, Loke semasa berucap di Persidangan Parti DAP 2026 mengusulkan meminta agar perwakilan parti itu membuat keputusan sama ada mahu DAP kekal atau tidak dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh penggal Parlimen.
Dalam ucapan penggulungannya, Loke berkata, keputusan perwakilan yang mahukan DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan bukannya satu cek kosong kepada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Kebangsaan (CEC) atau Perdana Menteri.
Katanya, pihaknya akan menggunakan segala kemampuan dan masa yang ada dalam Kerajaan Perpaduan untuk melaksanakan segala janji serta pembaharuan yang telah dijanjikan sebelum ini.
Menurutnya, janji yang dibuat itu bukanlah baharu, sebaliknya perkara yang telah dinyatakan secara terbuka.
“Itulah perkara yang sepatutnya kita laksanakan dan sudah tentu kita akan terus memastikan bahawa kerajaan khususnya Perdana Menteri dapat menunaikan semua janji tersebut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

