Sepanyol, Jepun, Brazil tempah tiket LA28

Frankfurt: Sepanyol, Jepun dan Brazil menjadi tiga negara pertama mengesahkan tempat ke saingan gimrama berkumpulan di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) selepas masing-masing menamatkan Kejohanan Dunia Gimrama di podium, semalam.

Sepanyol muncul juara dunia, diikuti Jepun yang meraih perak, manakala Brazil melengkapkan podium dengan gangsa sekali gus meraih kuota Olimpik terakhir yang ditawarkan menerusi kejohanan berkenaan.

Kejayaan itu turut melakar sejarah buat Jepun apabila skuad dibarisi Hisano Taguchi, Megumi Nishimoto, Kaseno Tanabe, Natsumi Hanamura, Yuna Tanaka dan Rin Manabe menghadiahkan negara itu kuota Olimpik pertama dalam semua sukan untuk LA28.

Lebih menarik, pencapaian itu menyaksikan Jepun kembali ke saingan keseluruhan berkumpulan gimrama di pentas Olimpik selepas kali terakhir beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 2021.

“Sekarang apabila memakai pingat yang begitu bermakna ini, hati saya dipenuhi perasaan gembira.

“Saya dan rakan sepasukan, Nishimoto, sebelum ini terlepas peluang beraksi di Olimpik Paris. Jadi, peluang untuk bertanding di Los Angeles lebih bermakna buat kami.

“Berjaya mendapatkan kuota tahun ini memberi kami keyakinan yang sangat besar,” kata Taguchi.

Kuota Olimpik seterusnya bagi gimrama akan ditentukan menerusi Siri Piala Dunia 2027, Kejohanan Dunia 2027 dan kejohanan benua pada 2028.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top