IPOH – DAP Perak sebulat suara memutuskan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal bagi memastikan kestabilan politik, melaksanakan reformasi serta menunaikan mandat yang diberikan rakyat.
DAP Perak dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat jawatankuasa parti di peringkat negeri selepas mengambil kira kepentingan untuk meneruskan agenda reformasi dan pelaksanaan janji pilihan raya.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melaksanakan pelbagai pembaharuan sepanjang tiga tahun lalu selain meningkatkan imej serta kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Dengan kekal berada dalam kerajaan, kita dapat terus melaksanakan manifesto Pakatan Harapan termasuk reformasi institusi, kebebasan badan kehakiman, usaha membanteras rasuah, mengurangkan kos sara hidup serta pembaharuan sistem pendapatan negara.
“Semua dasar ini perlu dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh penggal pentadbiran ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook DAP Perak pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, walaupun kerajaan berdepan pelbagai cabaran, keberadaan parti dalam kerajaan memberikan ruang dan suara dalam proses membuat keputusan bagi menggerakkan reformasi, menunaikan janji serta memacu pembangunan negara.
Jelasnya, DAP juga perlu kekal dalam Kerajaan Perpaduan bagi mempertahankan kekuatan politik masyarakat majmuk yang inklusif dan progresif, selain mengimbangi serta menghalang pengaruh ekstrem daripada terus berkembang.
“Ketika Perikatan Nasional dan Pas terus memainkan isu perkauman dan menunggang agama untuk mencetuskan perpecahan antara masyarakat berbilang kaum serta menggugat keharmonian negara, keberadaan DAP akan memastikan hala tuju politik negara membela perpaduan dan mempertahankan keharmonian tidak digugat,” katanya.
DAP Perak turut mengingatkan pengalaman negara yang menyaksikan pertukaran empat Perdana Menteri dalam tempoh tujuh tahun lalu, yang menurutnya menjejaskan ekonomi serta keyakinan pelabur.
“Ketidakstabilan politik itu tidak boleh berulang. Oleh itu, DAP sama sekali tidak boleh mengecewakan mandat yang diberikan rakyat.
“Parti mesti memikul tanggungjawab untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal bagi mengekalkan kestabilan politik, melaksanakan reformasi, membuktikan pencapaian dan meraih semula keyakinan rakyat. Inilah jalan yang benar dan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Kongres Kebangsaan DAP akan berlangsung pada Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dengan seramai 4,264 perwakilan pusat akan mengundi bagi menentukan sama ada parti itu terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.