Debut Eropah meyakinkan, Qabil Irfan kutip 13 mata di Barcelona

Debut Eropah meyakinkan, Qabil Irfan kutip 13 mata di Barcelona

PELUMBA muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan membuka kempen Moto4 European Cup 2026 dengan langkah kanan apabila menamatkan perlumbaan pembukaan di Litar Barcelona-Catalunya, Sepanyol di kedudukan keempat.

Biarpun bermula dari petak kelapan, pelumba berusia 14 tahun yang mewakili SIC-GRYD Racing itu mempamerkan tunggangan penuh meyakinkan apabila pantas menyesuaikan diri dengan jentera serta kekal bersaing dalam kelompok hadapan sepanjang 13 pusingan perlumbaan.

Qabil Irfan beberapa kali memperbaiki kedudukan dengan menyelinap ke kelompok lima terbaik sebelum berjaya berada dalam posisi podium pada pertengahan perlumbaan.

Namun, persaingan sengit di pusingan akhir menyaksikan beliau terlepas kedudukan podium apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keempat.

Beliau hanya ketinggalan 0.192 saat di belakang pemenang dari Sepanyol, Álvaro Lucas yang merekodkan masa 24 minit 19.948 saat.

Pelumba Itali, Edoardo Savino menduduki tempat kedua manakala rakan senegara, Lorenzo Pritelli melengkapkan podium di tempat ketiga.

Keputusan itu membolehkan Qabil Irfan mengutip 13 mata kejuaraan sekali gus memulakan kempen sulungnya dalam saingan Eropah dengan pencapaian memberangsangkan.

Mengulas perlumbaan itu, beliau mengakui permulaan yang baik menjadi kunci untuk berada dalam kelompok hadapan, namun berdepan sedikit cabaran keyakinan terhadap tayar hadapan serta perbezaan gaya tunggangan pelumba Eropah yang lebih agresif.

“Pada perlumbaan tadi, bagi saya permulaan berjalan dengan sangat baik. Saya bermula dari petak kelapan dan berjaya naik ke kedudukan keempat. Jadi, saya memang berpuas hati dengan permulaan itu.

“Untuk berada dalam kelompok depan, saya perlu melakukan permulaan yang baik dan cuba memintas seramai mungkin pelumba di hadapan. Bagaimanapun, saya ada berdepan sedikit masalah dari segi keyakinan terhadap tayar hadapan, namun saya tetap cuba mengekalkan kedudukan.

“Bagi saya, perbezaan di sini cukup ketara kerana pelumba-pelumba di Eropah sangat laju. Cara mereka menunggang juga berbeza dan lebih agresif berbanding di ESBK,” katanya.

Qabil Irfan turut menyifatkan perlumbaan berkenaan sebagai pengajaran dan pengalaman baharu yang amat berharga dalam kariernya.

“Bagi pusingan di Portugal nanti, saya akan cuba untuk menjadi sedikit lebih agresif berbanding sebelum ini dalam usaha memburu kedudukan podium.

“Bersama pasukan ini, semuanya berjalan dengan baik dan kami gembira. Apa sahaja yang saya perlukan, mereka akan cuba penuhi dan saya sangat gembira bersama pasukan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, menyifatkan aksi ditampilkan Qabil Irfan sebagai sangat memberangsangkan pada debut Eropahnya.

“Qabil Irfan menunjukkan kematangan yang cukup baik untuk seorang pelumba muda. Dia tidak gentar bersaing dengan pelumba Eropah yang lebih berpengalaman dan berjaya kekal dalam kelompok hadapan sepanjang perlumbaan.

“Apa yang paling menggembirakan, dia bukan sekadar mengikut rentak perlumbaan tetapi benar-benar bertarung untuk podium. Itu menunjukkan potensinya sangat besar dan kami percaya dia mampu pergi lebih jauh.

“Tempat keempat dalam perlumbaan pertama adalah permulaan yang positif, namun apa yang lebih penting ialah proses pembelajaran dan pembangunan. Kami akan terus bekerja untuk memastikan Qabil Irfan semakin kompetitif pada pusingan akan datang,” katanya.

Scroll to Top