Doktor minta pasukan Dr. Sheikh Muszaphar henti jual produk kepada pesakitnya

KUALA LUMPUR – Seorang doktor perubatan, Dr. Rafidah Abdullah mahu angkasawan pertama negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dan pasukannya berhenti menjual produk kesihatan keluarannya kepada pesakit yang dirawatnya.

Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi itu  telah menerima aduan mengenai penjualan produk itu kepada pesakit daripada doktor dari sebelah utara Semenajung Malaysia.

Dr. Rafidah Abdullah

Dalam surat terbuka kepada Dr Sheikh Muszaphar, Dr. Rafidah berkata, ada jurujual yang mengesyorkan produk itu kepada pesakit kronik buah pinggang dengan mendakwa produk itu selamat dimakan.

“Kepada Datuk Sheikh Muszaphar dan pasukan yang saya hormati, Saya menerima mesej dari rakan seperjuangan dari utara. Ada jurujual yang mengesyorkan produk ini kepada pesakit. katanya ianya selamat untuk pesakit kronik buah pinggang.

“Ya, dalam mana-mana iklan tidak ada menyebut buah pinggang tapi boleh lihat bagaimana pesakit-pesakit kronik boleh tertipu.

My hope is you and your team make sure all of the sellers stop offering this to my patients,” tegas Rafidah dalam kenyataan  di media sosial.

Menggunakan kepakarannya dalam bidang tersebut, Dr. Rafidah mengingatkan masyarakat produk yang dipromosi itu tidak mempunyai kajian saintifik yang membuktikan ia boleh membantu kesihatan.

“Jika berpenyakit kronik, jangan ambil. Terutamanya jika ada penyakit buah pinggang, memang disarankan jauhkan apa jenis produk sekali pun. Jangan terpedaya ya,” katanya.

Dalam hantarannya, Dr. Rafidah turut berkongsi gambar Dr Sheikh Muszaphar sedang tersenyum sambil memegang produk berkenaan.

Pada proster tersebut tertulis ‘Nikmat kesihatan ialah kunci kebahagiaan’ dan terdapat beberapa logo termasuk halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri).

Hasil carian di internet, produk tersebut didakwa hasil ramuan premium daripada Dr. Sheikh Muszaphar yang mempunyai latar belakang perubatan dan beliau  juga pengasas produk berkenaan.

Produk itu didakwa hasil gabungan habbatus sauda yang dikatakan makanan sunah dan peria katak yang didakwa sebagai insulin semulajadi.

Produk berkenaan juga pernah disiarkan dalam berita televisyen tempatan dan didakwa telah melalui kajian secara saintifik.-MalaysiGazette