Genting Malaysia, AGIBOT pacu robotik AI fizikal hospitaliti, hiburan

Genting Malaysia, AGIBOT pacu robotik AI fizikal hospitaliti, hiburan

GENTING Malaysia Berhad (GENM) terus memperkukuh kedudukannya apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan AGIBOT Innovation (Shanghai) Technology Co. Ltd (AGIBOT) bagi memperkasa pembangunan robotik kecerdasan buatan (AI) fizikal dalam sektor hospitaliti dan hiburan.

MoU itu dimeterai bersempena Persidangan Rakan AGIBOT (APC2026) di Shanghai, China yang menghimpunkan pemimpin global bagi meneroka masa depan robotik dan ekosistem dipacu AI.

GENM diwakili Ketua Pegawai Operasi Resorts World Genting (RWG), Aaron Chia Khong Chid dan disaksikan Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GENM, Tan Sri Lim Kok Thay; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif GENM, Datuk Indera Lim Keong Hui serta Presiden GENM, Lee Thiam Kit.

AGIBOT pula diwakili Pengarah AGIBOT Malaysia, Steven Ding dan disaksikan Presiden Rantau Asia Pasifik dan Timur Tengah, Abel Deng; Rakan Kongsi AGIBOT merangkap Presiden Bersama, Daniel Jiang serta Pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AGIBOT, Deng Taihua.

Kerjasama itu bertujuan membangunkan rangka kerja kolaboratif bagi meneroka, membangun dan merealisasikan nilai komersial penyelesaian robotik inovatif yang disesuaikan dengan aplikasi dunia sebenar.

Melalui gabungan kepakaran AGIBOT dalam robotik fizikal dan pengalaman luas GENM dalam pengurusan resort bersepadu, inisiatif itu dijangka mempercepatkan penggunaan automasi pintar serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengunjung.

Di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada pembangunan robotik meliputi tiga bidang utama iaitu taman tema, hospitaliti dan hiburan.

Kok Thay (kiri, tengah) dan Deng Taihua (kanan, tengah) bersama MoU yang telah ditandatangani di Majlis Menandatangani Strategik AGIBOT & Genting.

Kok Thay (kiri, tengah) dan Deng Taihua (kanan, tengah) bersama MoU yang telah ditandatangani di Majlis Menandatangani Strategik AGIBOT & Genting.

Antara fokus utama termasuk pembangunan robot humanoid bagi interaksi pengunjung, khidmat pelanggan dan integrasi teknologi robotik dalam persembahan pentas secara langsung serta tarikan imersif.

Kerjasama berkenaan turut melibatkan penyelidikan dan pembangunan bersama, pelaksanaan projek perintis serta pembentukan ekosistem aplikasi berskala.

Bagi menyokong pelaksanaan awal, GENM akan memperoleh dan melaksanakan robot fizikal daripada AGIBOT untuk program perintis serta integrasi operasi di seluruh premisnya.

Dalam perkembangan sama, AGIBOT mengumumkan pelancaran Persembahan Gala Robotik pertama di Malaysia yang dijadualkan berlangsung di RWG pada awal tahun 2027.

Persembahan tersebut bakal menampilkan robot AI berteknologi tinggi dalam format pentas secara langsung sekali gus menawarkan pengalaman hiburan imersif pertama seumpamanya di negara ini.

Aaron Chia berkata, inovasi sentiasa menjadi teras pendekatan GENM dalam membentuk masa depan hospitaliti dan hiburan.

“Seiring dengan jangkaan pengunjung yang semakin berkembang, kami sentiasa meneroka pendekatan baharu untuk menyampaikan pengalaman yang lebih imersif, lancar dan bermakna.

“Kerjasama dengan AGIBOT membolehkan kami melangkah ke dalam dunia robotik fizikal secara bermakna, yang mana teknologi dapat meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperkaya naratif pengalaman dalam persekitaran resort bersepadu,” katanya.

Beliau memaklumkan, pihaknya percaya inisiatif terbabit akan membuka peluang baharu dalam mentakrif semula interaksi pengunjung sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju berpandangan jauh dalam industri pelancongan.

Sementara itu, Abel Deng menyifatkan, kerjasama tersebut sebagai pencapaian penting dalam pelaksanaan robotik AI fizikal dalam persekitaran dunia sebenar berskala besar.

Katanya, gabungan teknologi robotik humanoid AGIBOT dan kecemerlangan operasi GENM berpotensi mentakrif semula standard perkhidmatan, penglibatan pengunjung merentasi taman tema, hotel serta hiburan langsung.

“Persembahan Gala Robotik di RWG hanyalah permulaan. Bersama-sama, kami sedang membangunkan ekosistem berskala yang mana robot humanoid meningkatkan pengalaman manusia secara lebih bermakna dan berimpak,” ujarnya.

Melalui inisiatif tersebut, GENM terus berada di barisan hadapan inovasi sektor hospitaliti dan hiburan serantau, sekali gus memperkukuh industri pelancongan Malaysia dengan penawaran resort bersepadu yang lebih inovatif serta berteraskan pengalaman.

Scroll to Top