Hadi Awang sahkan pemimpin Pas, UMNO bertemu

Hadi Awang sahkan pemimpin Pas, UMNO bertemu

MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan pemimpin parti itu dan UMNO mengadakan pertemuan malam tadi, ketika syor supaya Muafakat Nasional (MN) 2.0 dijayakan sedang hangat diperkatakan.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun tidak memberi butiran terperinci mengenai lokasi dan tujuan pertemuan tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘pertemuan biasa’.

“Yang nak jumpa kita jumpa. Saya tidak terlibat tetapi (pertemuan) dimaklumkan kepada saya,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Terdahulu, tular gambar dalam media sosial memaparkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad tiba di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dikatakan sebagai lokasi Mesyuarat Biro Politik UMNO berlangsung, malam tadi.

Ia mencetuskan spekulasi pemimpin kedua-dua parti itu mengadakan pertemuan untuk berbincang mengenai cadangan menghidupkan kembali MN 2.0.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, kerjasama politik yang pernah terjalin antara parti-parti Melayu sebelum ini wajar dihidupkan semula demi masa depan bangsa dan ummah.

Beliau berkata, pembubaran DUN Johor yang dijangka diikuti beberapa negeri lain membuka ruang kepada gelombang perubahan dalam landskap politik negara, sekali gus berpotensi mengembalikan kekuatan politik Melayu-Islam dan bumiputera. – UTUSAN

 

Scroll to Top