
Perdana Menteri turut berharap agar sambutan Hari Wesak tahun ini dapat membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada penganut Buddha di Malaysia.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk merenung nilai-nilai luhur yang menjadi asas kehidupan bermasyarakat bersempena dengan sambutan Hari Wesak hari ini.
Beliau berkata, nilai-nilai tersebut khususnya kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang sesama insan, bukan sahaja diraikan dalam tradisi keagamaan malah terus relevan dalam membina sebuah masyarakat yang saling memahami dan menghormati.
Anwar berkata, dalam negara yang rencam budaya, agama serta latar kehidupan, nilai cinta, ihsan dan kasih sayang yang diangkat ketika sambutan Wesak, memberi makna mendalam tatkala wujud kelompok yang cuba menyalakan api permusuhan antara kaum dan agama.
“Saya percaya penyebaran cinta dan kasih sayang akan menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh hormat dan persefahaman, yang menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan negara,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Perdana Menteri turut berharap agar sambutan Hari Wesak tahun ini dapat membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada penganut Buddha di Malaysia.
Beliau berkata, sambutan itu juga wajar menjadi titik tolak untuk terus menyemarakkan nilai kemanusiaan, yang menyatukan rakyat sebagai sebuah bangsa yang beradab dan bermaruah.
Hari Wesak diraikan oleh penganut Buddha di seluruh dunia bagi memperingati tiga peristiwa penting dalam kehidupan Siddharta Gautama iaitu kelahiran, pencerahan dan kematian beliau. – Bernama



