SANAA: Kumpulan Houthi yang disokong Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Arab Saudi semalam, beberapa jam selepas berikrar membalas dendam terhadap Riyadh, ketika perang di Asia Barat semakin meluas ke seluruh rantau.
Riyadh melancarkan serangan terhadap lokasi ketenteraan Houthi di Hodeida kelmarin, dengan media kumpulan itu melaporkan dua individu cedera selepas ia mengumumkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi dan menyerang kapalnya.
Pertempuran terbaharu itu membuka medan baharu dalam perang yang telah melanda rantau berkenaan susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Teheran pada Februari, selain berlaku ketika Iran turut mengenakan sekatan terhadap Selat Hormuz, satu-satunya laluan maritim lain bagi Riyadh.
Houthi sebelum ini menuduh Arab Saudi melakukan ‘peningkatan ketegangan berbahaya’ dan memberi amaran tidak akan membiarkan serangan itu tanpa tindak balas.
Media Ansarullah milik Houthi menerusi Telegram semalam berkata, serangan peluru berpandu Yemen mencetuskan kebakaran di bandar Jizan di selatan Arab Saudi, berhampiran Laut Merah.
Agensi pertahanan awam Riyadh mengeluarkan amaran ringkas kepada penduduk di Jizan dan Yanbu pada awal Sabtu mengenai kemungkinan bahaya, sebelum menarik balik amaran itu beberapa minit kemudian.
Amaran seumpama itu pernah dikeluarkan sebelum ini apabila peluru berpandu atau dron dilancarkan ke arah Arab Saudi.
Amaran tersebut dikeluarkan selepas gabungan diketuai Arab Saudi berkata pihaknya menyerang lokasi Houthi dan memusnahkan sasaran yang mengancam kapal perdagangan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas perkapalan di Laut Merah.
Sumber keselamatan Yemen memberitahu AFP, pangkalan tentera laut di bandar pelabuhan Hodeida dan kem tentera di Pulau Kamaran adalah antara sasaran serangan Arab Saudi.
Houthi mendakwa melakukan serangan terhadap dua kapal Arab Saudi awal minggu ini, dengan Riyadh mengesahkan satu daripada serangan tersebut berlaku di Laut Merah.
Akses Laut Merah penting untuk Arab Saudi bagi memastikan penghantaran minyak terus beroperasi ketika trafik perkapalan di Selat Hormuz terganggu.




