NASHVILLE – Banduan hukuman mati di Amerika Syarikat (AS), Christa Pike dikejarkan ke hospital selepas jantungnya masih berdegup selepas diberikan dua suntikan maut ketika pelaksanaan hukuman itu terhadapnya.
Pasukan guamannya memfailkan permohonan kecemasan untuk menghentikan pelaksanaan hukuman itu ketika ia sedang berlangsung dengan menyatakan Pike sudah tidak sedarkan diri, namun jantungnya masih berdegup dan kedengaran seperti dia sedang berdengkur.
Seorang peguamnya memberitahu Pike, 50, kini dirawat selepas dua picagari pentobarbital diberikan kepadanya.
Pike dijatuhi hukuman mati pada 1996 kerana membunuh Colleen Slemmer, 19, ketika tertuduh berusia 18 tahun yang dipercayai ada kaitan dengan ritual pemujaan syaitan.
Percubaan pelaksanaan hukuman mati itu dilakukan di Riverbend Maximum Security Institution di Nashville, Tennessee kira-kira jam 8 malam (waktu tempatan) pada Rabu.
Pelaksanaan hukuman mati itu diteruskan selepas Mahkamah Agung mengetepikan penangguhan yang diberikan Mahkamah Rayuan atas alasan memerlukan lebih masa untuk meneliti kes Pike.
Ia merupakan kali kedua pada tahun ini Tennessee gagal melaksanakan hukuman mati. Pada Mei lalu, pihak berkuasa negeri terpaksa membatalkan hukuman mati terhadap Tony Carruthers yang disabitkan atas kesalahan menculik dan membunuh tiga individu pada 1994 selepas petugas gagal memasukkan saluran intravena (IV) bagi menyuntik pentobarbital meskipun sudah mencuba selama lebih sejam. – Agensi



