‘Ini kahwin kali ketiga, kalau cerai lagi, kena cina buta’ – Amirudin sindir Pas-BN

AYER KEROH – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari menyindir kerjasama Pas dan Barisan Nasional (BN) yang didakwa hanya bertujuan untuk merebut kuasa.

Menteri Besar Selangor itu berkata, kedua-dua parti terbabit pernah menjadi rakan dan lawan sebelum kembali menjalinkan kerjasama politik baru-baru ini.

“Kalau tengok dalam data itu, hijau dengan biru. Itulah angkanya. Dua-dua kalau ditambah, jadi yang sebelah kiri, 80 peratus.

“Dia gabung kerana apa? Ada orang kata mungkin dia gabung kerana bangsa. Ada orang kata mungkin kerana kesatuan ummah, kesatuan Melayu.

“Tapi saya curiga. Sebab kedua-duanya pernah kita berkawan, kedua-duanya pernah kita berlawan,” katanya ketika ucapan penggulungan di Kongres Nasional di sini pada Ahad.

Katanya, kerjasama Pas dan BN bukan perkara baharu kerana kedua-dua parti itu pernah bergabung sebelum ini.

“Kedua-duanya hanya duduk bergabung untuk merebut dan duduk di atas kuasa. Kedua-duanya pernah berkahwin.

“Tahun 70-an dah kahwin sekali. Muafakat Ummah ataupun Muafakat Nasional kahwin kali kedua. Ini kahwin kali ketiga. Kalau cerai lagi, kena cina buta,” katanya.

Amirudin berkata, walaupun perjuangan PKR dilihat sukar dan mustahil, beliau yakin parti itu mampu mencapai matlamatnya.

“Tersedar, saya sebutkan hal ini kerana bagi tahu bahawa walaupun nampak sukar, walaupun nampak mustahil, saya yakin kita boleh lakukan.

“Kerana apa yang disebut oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, dia sebut apa? I am a fighter. Dan hari ini mari kita sambut seruan itu,” katanya.

 

Scroll to Top