Iran dakwa kapal terbabit kemalangan di Selat Hormuz

Iran dakwa kapal terbabit kemalangan di Selat Hormuz

TEHERAN: Iran mendakwa beberapa kapal yang cuba meninggalkan Selat Hormuz terbabit dalam kemalangan ketika melalui laluan yang disifatkannya sebagai tidak selamat, susulan tindakan republik Islam itu terus menguatkuasakan sekatan di laluan perkapalan strategik berkenaan.

Teheran pada Ahad turut memaklumkan pihaknya menahan dua kapal yang cuba melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran, ketika ketegangan dengan Washington terus memuncak berhubung kawalan ke atas laluan perairan penting itu.

Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkata, empat kapal yang didakwa melanggar peraturan, dengan sokongan ‘pengganas Amerika Syarikat (AS)’, cuba mengganggu keadaan dan keluar dari Selat Hormuz menerusi laluan yang disifatkan tidak selamat.

Menurut IRGC, dua daripada kapal berkenaan terbabit dalam kemalangan sebelum terhenti, manakala dua lagi membatalkan pelayaran mereka.

Bagaimanapun, IRGC tidak memperincikan bentuk kemalangan yang berlaku.

Menurut IRGC, kapal-kapal berkenaan turut didakwa mematikan sistem navigasi masing-masing selain mengabaikan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Tambahnya, semua kapal yang membawa minyak, gas atau baja perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dan menggunakan laluan perkapalan yang ditetapkan oleh Iran.

IRGC turut memberi amaran kapal yang menggunakan laluan lain berisiko berdepan kemalangan.

Sejak menandatangani memorandum persefahaman dengan Washington pada pertengahan Jun lalu, Teheran menegaskan ia mempunyai kuasa ke atas Selat Hormuz, laluan sempit yang menjadi antara nadi utama eksport tenaga dunia.

Iran turut menegaskan semua kapal perlu menggunakan laluan perkapalan yang lebih hampir dengan pesisir pantainya berbanding laluan berhampiran Oman, malah sebelum ini telah menyerang beberapa kapal yang didakwanya gagal mematuhi arahan tersebut.-AGENSI

Scroll to Top